KOTA KINABALU: 14 Februari 2026 – Kolej Vokasional Keningau (KV Keningau) mencatat kejayaan membanggakan apabila muncul johan dan pemenang tempat ketiga dalam Pertandingan Inovasi Alat Bantu Mengajar menggunakan Bahan Kitar Semula anjuran North Borneo University College (NBUC).
Menurut Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, pencapaian tersebut membuktikan kesungguhan serta komitmen warga kolej dalam membudayakan inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar, sekali gus mengangkat nama institusi ke peringkat lebih tinggi.
Pasukan Teknologi Elektrik KV Keningau yang dianggotai tiga pelajar tahun keempat, Claijster Christian Sylvester, Alleyson Voo dan Alleyya Deeva Tommy, dinobatkan sebagai johan menerusi projek “Mini Electric Distribution” yang membawa pulang wang tunai RM150, sijil, plak dan hamper makanan.

Projek berkenaan menampilkan model rumah lengkap dengan sistem pendawaian elektrik yang menggambarkan proses penjanaan dan pengagihan kuasa kepada peralatan domestik.
Inovasi itu bukan sahaja memudahkan pemahaman konsep asas elektrik, malah berperanan sebagai medium pendidikan awal berkaitan keselamatan penggunaan elektrik, khususnya kepada kanak-kanak.
Tempat ketiga pula diraih oleh pelajar tahun keempat Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Jonnathen Ng, menerusi inovasi bertajuk “HoGrowBook”.
“HoGrowBook” merupakan bahan bantu mengajar berbentuk buku interaktif yang direka bagi merangsang perkembangan kanak-kanak, termasuk kemahiran motor halus, koordinasi dan kepekaan deria melalui aktiviti pembelajaran yang sistematik.
Rombongan KV Keningau diiringi guru cemerlang Teknologi Elektrik, Ts. Haini Kotin selaku penasihat pasukan, bersama Timbalan Pengarah Sokongan Akademik kolej, Ts. Michael Dungki.
Pertandingan itu terbuka kepada belia dan pelajar berusia 17 hingga 25 tahun serta disertai guru prasekolah dan pelajar universiti serta kolej vokasional. Tempat kedua dimenangi oleh wakil institut penganjur, NBUC.
Menurut beliau, kejayaan ini merupakan pencapaian kedua kolej itu dalam bidang inovasi pada minggu yang sama selepas turut meraih dua pingat emas dan anugerah pembentangan terbaik dalam pertandingan di Kolej Vokasional Tawau menerusi pasukan berbeza.
