KOTA KINABALU: 27 Ogos 2025 – Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu (KTEKK), Manggatal, menerima sumbangan sebanyak RM5,000 bagi menyokong aktiviti pelajar sempena Program Tamu Suara 360° anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) dengan kerjasama Majlis Belia Sabah (MBS).
Sumbangan disampaikan kepada pengetua KTEKK, Suhaibul Kassim, dalam majlis yang turut dihadiri pemimpin belia dan pegawai sekolah.
Program ini bertujuan memberi ruang kepada pelajar dan golongan belia menyuarakan aspirasi mereka serta membolehkan pihak berkuasa memahami keperluan generasi muda secara langsung.
Pengerusi Smart Sabah, Datuk Mohammed Razali Razi, berkata program seperti ini penting kerana ia membuka peluang bagi generasi Z mendapatkan bimbingan serta nasihat dari pemimpin, khususnya dalam menapis maklumat yang diedarkan di media sosial.
“Melalui interaksi secara langsung, pelajar bukan sahaja dapat menyuarakan pendapat, malah dapat belajar untuk menilai maklumat dengan lebih kritis,” katanya.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan. Program itu dilihat sebagai wadah strategik untuk membina kesedaran dan kemahiran kritis dalam kalangan belia Sabah.
Sumber: kupikupifm