Tuesday, December 24, 2024

‘Pejabat Daerah Kalabakan cantik tapi tidak berfungsi’

Andi diihat dalam perjumpaan bersama jentera PDM Muhibbah Raya di sini.

Nilam Raon

KALABAKAN: Pejabat Daerah Kalabakan hanya cantik di luar tetapi fungsinya tidak seindah namanya, kata Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.

Beliau merujuk kepada penubuhan Pejabat Daerah Kalabakan oleh Kerajaan Warisan yang menurutnya, hanyalah bangunan asas, cantik kerana bersifat kosmetik tetapi tidak berfungsi.

“Ini katanya kerana sistem pentadbiran, pembayaran cukai dan hal-hal penting yang berkaitan dengan urus tadbir masih perlu dijalankan di Majlis Perbandaran Tawau (MPT),” katanya di majlis perjumpaan bersama jentera PDM Muhibbah Raya di sini, pada Rabu.

Andi yakin penduduk yang tinggal di Kalabakan tidak akan terpedaya dengan modal kempen tidak berasas mengenai bangunan itu kerana hakikatnya ia tidak berfungsi.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata, jika BN diberi mandat menerajui kawasan itu, mereka akan memperkemas dan meningkatkan kemudahan infrastuktur di Kalabakan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu berkata, mereka merancang untuk mewujudkan bandar baharu yang boleh meningkatkan sosio ekonomi di kawasan itu.

“Kita akan cari satu lokasi sebagai pusat komuniti yang akan menempatkan kemudahan perbankan, pusat pendidikan dan jika tidak di kawasan Kalabakan mungkin di Merotai pun boleh kerana secara tidak langsung kawasan sekitar juga mendapat limpahan,” katanya.

Parlimen Kalabakan menyaksikan persaingan lima penjuru antara BN, Warisan, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pejuang dan Bebas.

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights