KUALA LUMPUR: 3 Ogos 2025 – Peguam keluarga kepada Allahyarhamah Zara Qairina binti Mahathir menzahirkan kebimbangan serius terhadap cara siasatan kes kematian remaja itu dikendalikan oleh pihak berkuasa, khususnya berhubung pengurusan bukti dan laporan siasatan yang telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara.
Menerusi satu kenyataan media bersama oleh peguam bela Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, mereka memaklumkan bahawa semua pakaian dan barang peribadi milik Zara yang dipakai ketika mayatnya ditemui di bawah bangunan asrama pada 16 Julai lalu telah diserahkan oleh pihak hospital kepada ibu mangsa pada hari yang sama. Barang-barang tersebut kini berada dalam jagaan seorang wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik mewakili ibu Zara.
Bagaimanapun, menurut mereka, sehingga 3 Ogos 2025, pihak polis tidak pernah mengambil atau memohon mendapatkan semula pakaian dan barangan tersebut bagi tujuan siasatan. Perkara ini menimbulkan rasa terkejut dalam kalangan pihak peguam memandangkan dalam kes-kes jenayah yang melibatkan kematian, lazimnya polis akan merampas semua barangan mangsa sebagai bahan bukti untuk dianalisis secara forensik.
Mereka menegaskan bahawa kegagalan polis merampas dan menganalisis pakaian serta barangan Zara dilihat sebagai kecuaian serius, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada siasatan hanya tertumpu kepada kemungkinan kes bunuh diri semata-mata, sedangkan ibu Zara telah memfailkan beberapa laporan polis bagi memohon siasatan dijalankan terhadap kemungkinan wujudnya unsur jenayah dalam kematian anaknya.
Peguam keluarga juga menyifatkan bahawa kertas siasatan yang telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara adalah tidak lengkap, tidak menyeluruh dan terlalu sempit dari segi fokus. Lebih mengejutkan, tiada sebarang proses bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Zara sebelum pengkebumiannya.
Sehubungan itu, mereka menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan beliau dalam isu ini, dan berharap agar Perdana Menteri dapat menasihati Jabatan Peguam Negara supaya menyerahkan semula kertas siasatan kepada pihak polis.
Mereka turut mencadangkan agar satu proses bedah siasat dan inkues diadakan dalam masa terdekat bagi menentukan punca sebenar kematian Zara serta meneliti sebarang unsur jenayah yang mungkin berlaku.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Hamid Ismail dan Shahlan Jufri selaku peguambela dan peguamcara, mewakili pihak keluarga mangsa.