KOTA KINABALU: 13 September 2025 – Pasukan peguam mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir meminta agar semua bentuk perhimpunan aman berkaitan gerakan Justice For Zara ditangguhkan sementara sehingga prosiding inkues selesai.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, keputusan menangguhkan perhimpunan dibuat bagi menghormati permintaan ibu Zara, selain mengelakkan sebarang gangguan terhadap proses mahkamah.
Inkues yang telah bermula setakat ini melibatkan enam orang saksi, dan pasukan peguam menyatakan mereka berpuas hati dengan perjalanan prosiding tersebut.
Pasukan guaman turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika memberi komen atau kritikan di media sosial berhubung prosiding yang sedang berjalan.
Mereka berpendapat himpunan solidariti boleh diteruskan selepas mahkamah selesai menjalankan tugasnya, dan buat masa ini masyarakat diminta memberi ruang kepada proses kehakiman untuk memastikan kebenaran terserlah dan keadilan tercapai.
Sumber: Kenyataan Media