Peguam Malaysia di Jordan Urus Isu Tahanan Delegasi GSF

WhatsApp Image 2025 10 02 at 1.01.55 PM 1

SEPANG: 2 Oktober 2025 – Pasukan peguam Malaysia kini berada di Amman, Jordan bagi menyelaras urusan perundangan berhubung penahanan sukarelawan Malaysia yang terbabit dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Menurut Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), barisan peguam tersebut diketuai oleh Tuan Azril dari Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA) dan merupakan sebahagian daripada Legal Global Sumud Flotilla yang menghimpunkan rangkaian peguam dari 45 negara.

Dalam perkembangan berkaitan, sekretariat GSF turut bekerjasama dengan The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (ADALAH) yang dilantik sebagai wakil rasmi perundangan bagi membantu delegasi Malaysia menghadapi siasatan dan tahanan oleh pihak Israel.

SNCC memaklumkan sidang media mengenai perkembangan terkini penahanan delegasi Malaysia dan misi GSF akan diadakan sebanyak tiga kali sehari mulai hari ini.

Pusat itu juga menegaskan supaya semua pihak hanya merujuk kepada SNCC sebagai sumber sahih bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak benar yang boleh dimanipulasi sebagai propaganda Zionis.

SNCC turut menggesa penyokong, keluarga peserta serta masyarakat agar terus memberikan semangat kepada barisan sukarelawan dan tidak mudah terpengaruh dengan usaha melemahkan solidariti antarabangsa.

Terdahulu, 12 sukarelawan Malaysia disahkan ditahan rejim Zionis selepas kapal yang mereka naiki dipintas awal pagi tadi.

Mereka ialah Muhammad Haikal Abdullah, Muhammad Muaz Zainal Abiddin, Mohammad Zulfadhli Khiruddin, Mohd Rusydi Ramli, Ahmad Musa Alnuwayri Kamaruzaman, IIylia Balqis Suhaimi, Sul Aidil Sudi, Nur Fazelah Mad Tahil (Zizi Kirana), Danish Nazran Murad, Nurfarahin Romli (Farah Lee), Nur Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah.

Dua lagi sukarelawan, iaitu Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana) dan Razali Awang, masih belum dapat dihubungi setakat kenyataan ini dikeluarkan.

Sumber: Buletin TV3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal