Pegawai KKM merokok di premis makanan dikompaun

photo 2026 03 24 18 32 24

RAWANG: 23 Mac 2026 — Seorang penjawat awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikenakan kompaun selepas didapati merokok di sebuah premis makanan di Rawang, sekali gus melanggar larangan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa individu terbabit, yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak, dikenakan kompaun di bawah Seksyen 16(2) Akta 852 kerana merokok di kawasan larangan iaitu premis makanan.

Kes itu dikesan selepas satu hantaran di media sosial memaparkan individu berkenaan merokok di premis tersebut pada 23 Mac 2026, sebelum siasatan segera dijalankan oleh pihak kementerian.

Selain tindakan kompaun, KKM turut memaklumkan bahawa tindakan tatatertib dalaman akan diambil terhadap penjawat awam berkenaan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib).

Menurut KKM, larangan merokok di bawah Akta 852 terpakai kepada semua individu tanpa sebarang pengecualian, termasuk penjawat awam.

Premis makanan merupakan antara 28 kawasan larangan merokok yang telah diwartakan untuk melindungi orang awam dari pendedahan asap rokok dan memastikan persekitaran yang lebih sihat.

KKM turut menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang berkaitan larangan merokok akan dilaksanakan secara tegas, adil dan konsisten untuk melindungi kesihatan awam.

Sumber: Kenyataan Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal