KUALA LUMPUR: 12 Oktober 2025 – Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, menamatkan kempen cemerlang mereka di Kejohanan Badminton Terbuka Artik 2025 dengan menjulang gelaran juara selepas menewaskan wakil Jepun pada aksi final di Vantaa, Finland.
Pasangan ranking kedua dunia itu menampilkan prestasi meyakinkan apabila menundukkan pilihan ketiga kejohanan dalam tempoh hanya 32 minit dengan kemenangan straight set 21-7, 21-9.
Aksi bertenaga dan permainan kemas tanpa banyak kesilapan memastikan dominasi mereka di gelanggang sukar digugat.
Kejayaan ini melakar sejarah manis buat Pearly-Thinaah apabila meraih gelaran Super 500 ketiga dalam karier mereka dan kejuaraan kedua musim ini selepas kemenangan terdahulu di Terbuka Thailand.
Gandingan tersebut turut mencatat tiga kali penampilan sebagai naib juara, sekaligus membuktikan konsistensi mereka sebagai antara beregu wanita paling berpengaruh di pentas dunia.
Sumber: Astro Awani, Stadium Astro