PDA 1974 tidak sah – Kembalikan kedaulatan Sabah dan Sarawak, kuota 35% kerusi parlimen dan hak mutlak sumber – Dr Jeffrey

DDJK Parlimen 280126 1

KUALA LUMPUR: 28 Januari 2026 – Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, mendesak agar Sabah dan Sarawak diberi pengiktirafan sewajarnya sebagai wilayah yang matang dalam Malaysia. Beliau menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan hak kedaulatan Sabah dan Sarawak, termasuk kuota 35% kerusi Parlimen dan hak mutlak ke atas sumber minyak dan gas.

Dalam perbahasannya di Parlimen Malaysia, Dr Jeffrey menegaskan bahawa pengagihan kerusi Parlimen yang tidak seimbang, dengan Semenanjung Malaysia menguasai 75% kerusi, telah menafikan hak perlindungan berperlembagaan (constitutional safeguard) Sabah dan Sarawak. Peruntukan 35% kerusi untuk Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada perlindungan berperlembagaan dijanjikan dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) sebagai syarat persetujuan pembentukan Malaysia.

“Selain daripada itu kita juga perlu mengembalikan hak 35% kerusi kerana ini adalah antara perlindungan mengikut perenggan 6 dan 7 dalam Laporan IGC, Sabah Sarawak bersetuju membentuk Malaysia dengan syarat diberi perlindungan berperlembagaan untuk menjamin hak kepentingan dan keistimewaan,” ujarnya.

Beliau mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memastikan Sabah dan Sarawak menguasai 35% kerusi Parlimen, dan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan pindaan tersebut.

Dr Jeffrey turut menekankan kepentingan menghormati Sabah dan Sarawak sebagai wilayah yang berdaulat, dan bukan sebagai “neo-koloni Malaya”. Beliau menyuarakan kebimbangan mengenai naratif palsu yang dilemparkan terhadap hak milik minyak dan gas Sabah dan Sarawak, khususnya berkaitan dengan Petros Sarawak.

“Layanan Sabah Sarawak sebagai neo-koloni Malaya harus dihentikan dan hak berdaulat tersebut dikembalikan,” tegasnya.

Dr Jeffrey membantah dakwaan bahawa Petronas berhak sepenuhnya terhadap pembangunan dan pengeluaran minyak dan gas di Sarawak, dan bahawa Petros Sarawak kekurangan pengalaman. Beliau menegaskan bahawa hak milik minyak dan gas Sabah dan Sarawak adalah hak mutlak negeri, dan penyerahan hak kepada Petronas melalui Vesting Order di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74) adalah tidak sah di sisi Perlembagaan.

“You cannot vest something that you don’t have,” ujarnya.

Beliau berkata perjanjian yang ditandatangani pada 14 Jun 1976 yang membenarkan pembayaran tunai 5% daripada hasil jualan minyak kepada Sabah tidak sah kerana tidak melalui Dewan Undangan Negeri dan tidak direstui oleh Dewan Undangan Negeri.

“Lagipun, petroleum telah dihasilkan dari Sarawak sejak tahun 1910 dan di Sabah pada 1974 sebelum PDA74 diwujudkan,” katanya.

Jelasnya, di bawah Perkara 2 Senarai Negeri, isu tanah dan mineral dibawah tanah termasuk minyak dan gas adalah hak mutlak Negeri termasuk permit dan lesen untuk carigali and pajakan perlombongan – bukan hak Persekutuan.  Dibawah Senarai Persekutuan, perkara 8(j) tertakluk kepada perkara 2(c) Senarai Negeri, Persekutuan hanya berhak menyentuh  pembangunan (development) sumber mineral, perlombongan mineral, minyak dan medan minyak, jual, beli, impot dan ekspot bahan mineral dan minyak, peraturan pekerja dan keselamatan didalam lombong dan medan minyak.

“Akan tetapi, kalau kita mendengar Titah DYMM Tuanku, perlundungan harus diadakan secara matang. Misalnya jika hakmilik minyak dan gas tidak dikembalikan, satu cadangan yang mungkin dilaksanakan adalah memberi pemilikan saham yang munasabah dalam Petronas kepada pengeluaran minyak dan gas, iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.

“Begitu juga hak pelancongan yang asalnya hak “Residual Power” Sabah dan Sarawak. Ianya boleh diselesaikan sebagai kuasa Senarai Bersama jika dikembalikan,” katanya.

Terlebih dahulu, Dr Jeffrey menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung jurang pembangunan yang ketara antara Sabah dan Semenanjung Malaysia. Beliau menyifatkan keadaan infrastruktur di Sabah, seperti jalan raya yang berlubang dan mengancam nyawa, melenting di media sosial dan cerminan kemunduran yang tidak boleh diterima.

Kenyataan ini menyusul rentetan insiden tragis, termasuk kematian seorang penunggang motosikal akibat lubang di jalan raya dan kerosakan kenderaan yang disebabkan oleh keadaan jalan yang teruk termasuk kerapkali tayar kereta pecah dan nyawa dikorbankan di Kota Kinabalu akibat terlanggar lubang jalanraya.

Dr. Jeffrey menegaskan bahawa sentimen rakyat Sabah yang tidak berpuas hati jelas terpancar pada Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) di mana parti-parti dari Kuala Lumpur ditolak oleh pengundi.

Beliau menekankan bahawa rakyat Sabah mendambakan kesaksamaan pembangunan dengan Semenanjung dan menuntut hak mereka untuk menerima 40% hasil negeri, termasuk sumber minyak dan gas, seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sudah lebih 60 tahun, malah 63 tahun kita menunggu untuk menikmati hasil dari Perjanjian Malaysia, tetapi masih lagi kita menunggu, dan kita terus-menerus berunding,” tegas beliau.

Dr. Jeffrey menggesa kerajaan untuk segera membetulkan ketidakadilan dan menegakkan keadilan untuk Sabah dan Sarawak. Beliau mencadangkan perubahan asas dalam agihan peruntukan pembangunan, dengan mencadangkan peruntukan 50% untuk Semenanjung, 25% untuk Sabah, dan 25% untuk Sarawak. Sabah dan Sarawak, dengan potensi pembangunan yang besar dan keperluan untuk pembangunan yang lebih mendesak, sepatutnya menerima peruntukan yang lebih besar.

Selain itu, beliau menyeru kerajaan untuk menghormati hak kewangan Sabah yang telah dirundingkan dan disahkan oleh mahkamah. Sekiranya hak hasil 40% dikembalikan, Sabah akan menerima tidak kurang dari RM20 bilion setahun, yang boleh digunakan untuk mempercepatkan pembangunan Sabah.

Beliau juga menyebut hak Sabah ke atas duti eksais dan impot ke atas bahan petroleum dan cukai eksport ke atas minyak mentah, yang dianggarkan berjumlah lebih RM4.8 bilion setahun.

“Selama ini Sabah telah dinafikan hak kewangan melebih RM24 bilion setahun dan akibatnya Sabah mundur dan miskin,” katanya.

Dr. Jeffrey berkata, pemenuhan hak-hak Sabah dan Sarawak, seperti yang dipersetujui dalam MA63, bukan sahaja akan memajukan eilayah-wilayah tersebut tetapi juga akan memberi manfaat kepada Semenanjung dan Negara. Pembangunan potensi di Sabah dan Sarawak akan mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan, dan menghasilkan bakat-bakat baharu.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menyambut baik titah DiRaja berhubung isu ini dan berharap agar Perjanjian Malaysia dilaksanakan dengan segera demi keadilan dan kemakmuran bersama tanpa melengah-lengahkan dengan perbincangsn dan perundingan. Tegasnya Tahun Melawat Malaysia 2026 juga genap 63 tahun pembentukan Malaysia, tindakan segera diperlukan untuk menangani isu-isu pembangunan yang membelenggu Sabah dan Sarawak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal