Monday, December 23, 2024

Pasar nelayan Paitan peluang dapat untung

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

PAITAN: Nelayan yang menyertai program pasar nelayan dengan menjual terus hasil tangkapan kepada pelanggan mampu meningkatkan pendapatan daripada kurang RM1,000 kepada lebih RM2,000 sebulan.

Program ini memberi peluang kepada nelayan untuk menjual terus hasil tangkapan mereka kepada pengguna tanpa penglibatan orang tengah dan secara langsung memberikan pendapatan yang lebih lumayan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pasar nelayan yang lebih teratur mempunyai kemudahan infrastruktur, peralatan yang lebih baik dan selesa yang disediakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Ia juga dapat dijadikan medium pasaran alternatif hasil laut untuk memasarkan hasil tangkapan nelayan secara terus kepada pengguna terutama di kawasan Paitan,” katanya di Majlis Pecah Tanah Pasar Nelayan Paitan.

Beliau juga mengadakan sesi sembang santai bersama nelayan Paitan di sini.

Katanya, program Pasar Nelayan merupakan salah satu inisiatif LKIM untuk meningkatkan pendapatan keluarga nelayan dengan memberi peluang kepada mereka untuk memasarkan hasil tangkapan terus kepada pengguna.

Oleh itu katanya, penglibatan nelayan sebagai peserta di pasar nelayan ini membantu meningkatkan pendapatan mereka sehingga lebih RM2,000.

Pasar Nelayan Paitan dibina dengan kos RM200,000 merupakan pasar nelayan yang ke-12 di Negeri Sabah dan merupakan ke-136 di seluruh Malaysia.

Di majlis berkenaan, Ronald turut menyerahkan ‘Mock Cheque’ Bantuan Touch Point (Enjin Sangkut) kepada 20 nelayan Paitan dengan peruntukan sebanyak RM200,000.

“Kerajaan melalui LKIM akan sentiasa menjaga kebajikan dan memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dan sektor perikanan negara,” kata Ronald.

MAFI dan LKIM akan terus memastikan kebajikan golongan nelayan yang merupakan antara barisan hadapan sektor agromakanan yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan sekuriti bekalan makanan negara.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Labuk, Samad Jambri, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Yusoff Othman, Pengarah LKIM Sabah Mohd Jamil Abdullah, Penolong Pegawai Daerah Kecil Paitan Joloning Joe Majambu, Pegawai Wilayah LKIM Wilayah II Sandakan Hasbie Mokti dan Pengerusi Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Paitan Barjahun Hiyah.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights