Parti KDM sokong GRS, nafi cetus undi rosak

Share the news

Parti KDM sokong GRS, nafi cetus undi rosak

Datuk Peter Anthony

KOTA KINABALU: Walaupun meletakkan calon untuk menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihan raya umum akan datang, Parti Kesejahteraan Demokratik Tanah Airku (KDM) kekal sebagai parti mesra kepada gabungan kerajaan negeri.

Presiden KDM Datuk Peter Anthony berkata, walaupun mesra GRS, partinya akan bertanding secara solo pada pilihan raya 19 November ini.

“Kami belum bergabung sama ada dengan GRS mahupun Barisan Nasional,” katanya di perhimpunan KDM di Tenom pada Sabtu.

KDM ditubuhkan oleh Anthony selepas meletak jawatan daripada Parti Warisan di mana beliau adalah naib presidennya. Beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bekas menteri dalam Kerajaan Warisan.

Di majlis itu, Anthony mengumumkan akan bertanding di Tenom. Partinya juga akan turut meletakkan calon bagi kerusi Parlimen Pensiangan dan Keningau. KDM juga mengesahkan bertanding di Kota Kinabalu, Kota Marudu, Sepanggar dan Kimanis.

KDM yang sudah memohon untuk menyertai GRS, turut mempertaruhkan nasib untuk merebut kerusi Parlimen Papar dan Ranau.

Mengenai dakwaan oleh Warisan bahawa KDM bertanding dalam pilihan raya umum semata-mata untuk merosakkan undi orang asal, Anthony berkata ia tidak betul.

Beliau berkata, sebagai presiden KDM Malaysia bagaimana mungkin ia mampu menimbulkan undi rosak “di kalangan orang-orang saya sendiri.”

“Lebih baik Warisan bertanding di pantai timur daripada bertanding di kawasan Pedalaman yang majoriti penduduk KDM yang tidak menyokong mereka,” katanya.

Menurutnya ketika Warisan melancarkan jentera pilihan raya di Tenom minggu lalu, ia dihadiri kurang daripada 200 orang.

Sementara itu, KDM bersikap bijak dan bermain selamat dalam menghadapi pilihan raya umum ini. Ini kerana ia akan menyokong parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan.

Anthony berkata itu adalah prinsip dan perjuangan KDM sejak ia ditubuhkan iaitu untuk menghormati kerajaan yang menang sama ada di peringkat Negeri atau Persekutuan.

– Tv Sabah News

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal