Parti KDM atur strategi bijak, selamat
KOTA KINABALU: Bijak dan ‘bermain selamat’. Parti Kesejahteraan Damokratik Masyarakat (Parti KDM) akan menyokong parti yang menang hingga membentuk Kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya umum ke-15 ini.
Presidennya Datuk Peter Anthony berkata, itu adalah prinsip perjuangan dan matlamat KDM sejak parti itu ditubuhkan.
Mereka mahu menghormati kerajaan yang menang pada hari ini sama ada di peringkat Negeri atau Persekutuan.
Anthony menubuhkan Parti KDM selepas meletak jawatan daripada Parti Warisan yang mana beliau sebelum ini adalah naib presidennya.
Semalam, Adun Melalap itu berkata Parti KDM, sebuah parti tempatan mesra Kerajaan GRS, akan bertanding di kawasan Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu, Kota Marudu dan Kimanis.
“Tiga lagi calon akan diumumkan semasa majlis parti itu di Tenom pada hari Sabtu ini,” katanya dalam mesyuarat di ibu pejabat parti itu di Kepayan Point, Selasa.
Ketua bahagian parti itu, Jumardie Lukman akan bertanding di Sepanggar, ahli perniagaan Datuk Seri Winston Liaw di Kota Kinabalu, bekas pembantu menteri Datuk Westrom Bahanda (Kota Marudu) dan kakitangan awam bersara Amat Md Yusof (Kimanis).
Anthony dijangka mengumumkan sama ada beliau akan bertanding di Tenom manakala timbalannya Datuk Juil Nautim memfailkan kertas pencalonan bagi kawasan Papar pada hari penamaan calon pada 5 November.
Beliau menegaskan bahawa permohonan KDM untuk menyertai GRS belum dimuktamadkan justeru parti itu tidak terikat dengan gabungan kerajaan negeri dalam soal calon pada pilihan raya akan datang.
“Terpulang kepada kepimpinan parti di mana hendak meletakkan calon,” katanya tanpa menolak kemungkinan KDM untuk bertanding di Ranau dan Penampang.
– Tv Sabah News
0 Comments