Monday, December 23, 2024

Pakatan GRS-BN Sabah retak?

KOTA KINABALU: Dalam masa kurang dua hari selepas lebih sejuta rakyat Sabah memilih calon pilihan raya umum ke-15 pada Sabtu, pakatan di antara Barisan Nasional (BN) Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dikatakan semakin retak.

Tular di media sosial menunjukkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dikatakan berbalah di antara satu dengan yang lain.

“Hajiji telah isytihar perang ke atas kami,” kata meme yang tular memetik nama Bung sebagai berkata.

Dalam meme itu Hajiji seolah-olah diingatkan bahawa BN Sabah ada perjanjian bersama GRS untuk menyokong BN tetapi Hajiji memungkiri janji dengan menyokong Perikatan Nasional (PN).

“Hajiji juga tidak menelefon saya atau berbincang mengenai keputusan GRS itu,” demikian meme menggunakan watermark Platform Sabah Info yang viral di aplikasi whatsapp dan Facebook sejak sehari yang lalu.

The Vibes melaporkan yang Bung Moktar berkata bahawa pakatan politik antara GRS dan Perikatan Nasional (PN) di semenanjung telah meletakkan gabungan parti pemerintahan di Sabah itu goyah.

“Kedua-dua GRS dan BN bukan sahaja mempunyai pakatan pilihan raya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tetapi juga membentuk kerajaan GRS-BN Sabah,” Bung Moktar dipetik oleh portal The Vibes sebagai berkata.

Kini, pengerusi GRS didakwa melanggar pakatan itu dengan memberikan sokongan kepada PN.

Bung Moktar berkata, GRS melanggar janjinya untuk menyokong BN pada pilihan raya umum.

Kedua-dua perikatan itu meraih 14 kerusi dengan enam dari GRS, BN (tujuh) dan satu daripada PN. Satu-satunya kerusi PN adalah Beluran.

BN kini sedang membincangkan mengenai gabungan dengan PH bagi membentuk pakatan perpaduan yang mewakili lebih pengundi, dan mengharapkan GRS mengotakan janjinya sebagai sekutu BN.

PH menang kerusi terbanyak pada PRU-15 pada Sabtu iaitu 82 kerusi.

Menurut The Vibes, pemerhati berkata adalah mustahil untuk GRS mentadbir negeri itu tanpa sokongan BN. BN dan PH pada Isnin, telah pun membentuk dua kerajaan negeri perpaduan di Perak dan Pahang.

GRS terdiri daripada BERSATU, Sabah Star, SAPP, PBS dan Usno serta BERSATU, Sabah Star dan SAPP adalah komponen PN. BN pula dianggotai UMNO dan PBRS.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights