Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 21 Oktober 2026 – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan kewangan, tadbir urus dan pelaksanaan fizikal projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa I susulan kelewatan projek termasuk ketidakpadanan antara perbelanjaan dan kemajuan pembinaan.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata keputusan itu dibuat susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 Tahun 2026 yang dibahaskan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu, termasuk isu kelemahan pengurusan projek, ketidakpatuhan prosedur kewangan dan peningkatan kos pembinaan.
Menurutnya, daripada 35 pakej kerja yang melibatkan jajaran sepanjang 706 kilometer, hanya empat pakej atau 11.4 peratus disiapkan. Baki 31 pakej bernilai RM16.319 bilion masih dalam pelaksanaan walaupun projek itu sepatutnya siap pada penghujung 2021.
“PAC memandang serius tentang perkara ini, terutama sekali isu penyaluran dana dan pembayaran yang telah dibuat sebanyak 94.6 peratus, iaitu RM10.547 bilion dari RM11.153 bilion peruntukan yang diterima.
“Namun, apabila projek ini baru sahaja siap 11.4 peratus dan dijangka memerlukan lebih banyak suntikan dana tambahan untuk disiapkan, bagaimana perkara ini boleh berlaku?” katanya dalam kenyataan.
Daripada pakej kerja yang masih dalam pelaksanaan, sembilan dikategorikan sebagai projek sakit, 13 mengalami kelewatan dari jadual ditetapkan dan sembilan lagi mendahului jadual.
Katanya, kos keseluruhan kontrak projek itu turut meningkat dari RM17.91 bilion ke RM18.394 bilion. Tarikh siap dilanjutkan sehingga 2030 berikutan kelemahan perancangan dan pelaksanaan.
Laporan audit turut mendedahkan 57 arahan perubahan kerja bernilai RM513.99 juta diluluskan tanpa kelulusan pihak berkuasa berkaitan seperti yang ditetapkan. Pembayaran interim berjumlah RM163.64 juta kepada kontraktor dan perunding turut dibuat tanpa ikatan kontrak rasmi.
Tambahnya, dana pendahuluan kerajaan untuk kerja utiliti berjumlah RM41.3 juta masih belum dituntut semula dari syarikat utiliti selepas tempoh ditetapkan. Kerja pembinaan 19 pakej dimulakan sebelum Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) diluluskan.
Kelemahan sistem maklumat projek turut menyebabkan kehilangan 77,299 fail data pemantauan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pemantauan dan tadbir urus pelaksanaan projek berkenaan.
“PAC melihat isu ini bukan sekadar isu kelewatan pembinaan fizikal biasa, tetapi sebaliknya melibatkan isu integriti tadbir urus dan akauntabiliti kerajaan dalam menguruskan wang rakyat,” katanya.
Beliau berkata, kelewatan projek itu turut menjejaskan akses pengguna jalan raya di Sabah ke sistem perhubungan yang lebih selamat. Ia memberi kesan berantai terhadap pelaksanaan LPB Sabah Fasa II dan Fasa III yang belum dapat dimulakan.
PAC mengambil maklum kenyataan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, bahawa beberapa pakej yang belum siap sedang giat dilaksanakan. Sebahagian jajaran mencatatkan kemajuan fizikal antara 90 hingga 93 peratus.
Sebanyak lapan pakej sepanjang 179 kilometer juga dicadangkan untuk dibuka secara berperingkat sebelum penghujung tahun ini.
Menurut Pengerusi PAC, siasatan itu turut mengambil kira isu yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen ketika perbahasan laporan audit berkenaan, termasuk permohonan rasmi Ahli Parlimen Kota Belud supaya siasatan menyeluruh dijalankan.
“PAC akan memanggil saksi dari Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk JKR Negeri Sabah, agensi dan pihak berkaitan untuk memberikan keterangan dalam prosiding yang akan diadakan,” ujar beliau.
Beliau menegaskan sekiranya prosiding PAC menemukan sebarang petunjuk salah laku, rasuah atau penyelewengan kuasa, jawatankuasa itu tidak akan teragak-agak merujuk dapatan berkenaan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
“PAC komited untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh demi memastikan setiap sen wang rakyat yang dibelanjakan diuruskan secara berhemah, bertanggungjawab dan mematuhi peraturan,” ujarnya.

