KUCHING: 1 Oktober 2025 – Bahagian tubuh manusia termasuk kepala, rahang, perut dan paha ditemukan dalam perut seekor buaya yang berjaya ditangkap di Sungai Semanok, Tatau, Bintulu.
Penemuan itu dipercayai berkaitan dengan insiden kehilangan seorang pemuda, Jeffery Masing Win, 21, yang disambar buaya ketika mandi di anak sungai bersama abangnya pada malam Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, usaha abangnya untuk menyelamatkan mangsa tidak berhasil apabila buaya tersebut segera mengheret tubuh Jeffery ke dalam sungai sebelum menghilang.
Selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat (SAR), penduduk kampung akhirnya berjaya mengesan dan menangkap seekor buaya yang disyaki membaham mangsa pada jam 9.25 pagi berhampiran Rumah Panjang Win.
Buaya itu kemudian ditarik ke darat dan diserahkan kepada pihak berkuasa.
Pasukan penyelamat melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Sarawak Forestry Corporation (SFC) dikerahkan ke lokasi.
Proses pembedahan ke atas buaya tersebut dilakukan pada jam 10.30 pagi, dan berakhir kira-kira 40 minit kemudian dengan penemuan beberapa bahagian tubuh manusia.
Bahagian tubuh yang ditemukan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi SAR ditamatkan secara rasmi selepas pengesahan tersebut.
Sumber: Buletin TV3