SANDAKAN: 31 Oktober 2025 – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan telah melaksanakan Ops Tapis Narkotik pada Khamis bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di kawasan Batu 16, Sandakan, Sabah.
Operasi yang dijalankan sekitar jam 9 pagi itu menyasarkan kawasan perumahan awam di Batu 16 dan hasil serbuan di sebuah rumah beralamat B-2-8, PPR Gum-Gum, Sandakan, pasukan BSJND telah menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Pemeriksaan lanjut di rumah tersebut menemukan bahan disyaki dadah jenis syabu.
Suspek kemudiannya dibawa ke Pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan awal air kencing, dan hasil ujian mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Suspek ditahan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk tindakan lanjut.
Pada hari yang sama, dua lagi lelaki turut dibawa oleh anggota Polis Pengkalan Bit Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk menjalani ujian saringan air kencing di Pejabat BSJND IPD Sandakan.
Keputusan ujian mendapati kedua-duanya positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kedua-dua suspek itu turut ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semua suspek kini ditahan di Lokap IPD Sandakan untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George b. Abd Rakman berkata, pelaksanaan Ops Tapis Narkotik ini sejajar dengan tekad Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras jenayah dadah di daerah Sandakan secara berterusan.
Sumber: Polis Daerah Sandakan