SANDAKAN: 16 Oktober 2025 – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan melaksanakan Ops Tapis Narkotik bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di sekitar kawasan Batu 10 dan Batu 7, Sandakan.
Dalam operasi bermula jam 10.00 pagi itu, pasukan polis telah menjalankan serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Obar, Batu 7.
Hasil serbuan berjaya menahan empat lelaki, dua orang disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua lagi di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Selain itu, seorang lagi lelaki turut ditahan hasil tapisan tangkapan oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua suspek dibawa ke Pejabat BSJND IPD Sandakan untuk ujian saringan awal air kencing, dan hasil ujian menunjukkan semua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
Mereka kini ditahan di Lokap IPD Sandakan untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman, menegaskan operasi ini merupakan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras jenayah dadah di daerah tersebut.
Sumber: Polis Daerah Sandakan