LAHAD DATU: 23 Disember 2025 — Sebuah motokar dan empat motosikal disita, bersama 20 saman trafik dalam Operasi Samseng Jalan pada awal pagi Selasa oleh Polis Daerah Lahad Datu dalam membenteras kegiatan samseng jalanan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin bin Hj. Ismail, pihak polis memandang serius sebarang bentuk kegiatan samseng jalanan kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga berpotensi membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata, saman dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan trafik, termasuk memandu tanpa lesen, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, ketiadaan perlindungan insurans, tiada cermin sisi, serta pengubahsuaian ekzos dan struktur kenderaan tanpa kelulusan.
Selain itu, polis turut memeriksa 18 individu dan 14 kenderaan, serta menjalankan empat sesi advokasi keselamatan jalan raya kepada pengguna.

Kesemua kenderaan yang disita diambil tindakan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Operasi bersepadu itu diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Lahad Datu, Insp. Mohd Riduan Abdullah @ Mustaffa, dan dijalankan di beberapa lokasi tumpuan, termasuk Bandar Lahad Datu, Bandar Fajar, Jalan Airport, Bandar Sri Perdana, dan Jalan Pan Borneo, yang melibatkan seramai 12 pegawai dan anggota pelbagai bahagian IPD Lahad Datu.
Sumber: Polis Daerah Lahad Datu
