Operasi Cari Mangsa Runtuhan Sekolah di Indonesia Ditamatkan, 67 Terbunuh

JAKARTA: 8 Oktober 2025 – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa runtuhan bangunan sekolah agama di Pulau Jawa secara rasmi ditamatkan selepas sembilan hari dijalankan, dengan jumlah korban meningkat kepada 67 orang.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Mohammad Syafii, berkata keputusan menamatkan operasi dibuat selepas pasukan penyelamat meneliti keseluruhan kawasan runtuhan dan tidak menemui sebarang mangsa baharu.

Bangunan bertingkat sekolah pondok Islam itu runtuh pada 29 September lalu ketika lebih 170 pelajar berkumpul untuk menunaikan solat Asar.

Menurut Pengarah Operasi Basarnas, Yudhi Bramantyo, kerja-kerja pembersihan serpihan bangunan selesai sepenuhnya semalam, dan hasil pemeriksaan mendapati tiada lagi kemungkinan mayat tertinggal di bawah runtuhan.

“Jumlah keseluruhan mangsa yang dikeluarkan ialah 171 orang, termasuk 67 maut, lapan daripadanya hanya ditemui dalam bentuk bahagian tubuh, manakala 104 lagi terselamat,” katanya dalam laporan terkini Basarnas.

Sementara itu, Agensi Bencana Negara (BNPB) memaklumkan hanya 17 mayat berjaya dikenal pasti setakat ini oleh pasukan Pengenalpastian Mangsa Bencana (DVI) Polis Indonesia.

BNPB menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi paling dahsyat tahun ini, dengan usaha susulan kini tertumpu kepada bantuan kemanusiaan serta siasatan punca sebenar runtuhan.

Sumber: Buletin TV3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal