PENAMPANG: 23 Julai 2025 – Polis Penampang memperhebat usaha membanteras jenayah harta benda melalui pelaksanaan Op Lusuh yang melibatkan pemeriksaan ke atas tiga premis besi buruk di daerah ini.
Operasi yang diketuai oleh Ketua Balai Polis Penampang, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab Rahman bersama sepasukan anggotanya, memberi fokus kepada pemantauan aktiviti pembelian dan penjualan barangan lusuh yang berpotensi diperoleh melalui jenayah seperti kecurian kabel, logam serta komponen elektrik.
Menurut kenyataan pihak polis, ketiga-tiga premis yang diperiksa didapati beroperasi secara sah dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
Setiap premis juga mempunyai lesen perniagaan yang masih berkuat kuasa.
Dalam pada itu, pemilik premis turut diingatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak menerima barangan yang tidak jelas sumbernya, bagi mengelak terjebak dalam kegiatan penjualan barangan curi.
Polis turut menyeru orang awam agar tampil menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan yang melibatkan barang lusuh, bagi membantu membanteras jenayah secara menyeluruh.
Op Lusuh akan diteruskan secara berkala sebagai inisiatif pencegahan dan pemantauan berterusan demi memastikan keselamatan serta ketenteraman komuniti sentiasa berada pada tahap terbaik.
Sumber: Polis Daerah Penampang