KOTA KINABALU: 1 Januari 2026-Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Kolombong, pagi tadi.
Kemalangan yang berlaku sekitar jam 9.55 pagi itu membabitkan mangsa berusia sekitar 30-an yang dalam perjalanan dari Inanam menuju ke Hospital Queen Elizabeth II serta sebuah kereta jenis Perodua Alza.
Siasatan awal polis mendapati motosikal berkenaan dipercayai bergerak ketika lampu isyarat merah sebelum bertembung dengan sebuah kereta yang sedang membelok ke kanan.
Perlanggaran tersebut menyebabkan penunggang motosikal mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.
Dalam kejadian sama, pembonceng motosikal dan pemandu MPV turut cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Polis telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian termasuk merakam gambar, menyediakan lakaran awal kemalangan, mengenal pasti saksi serta menahan kenderaan terlibat bagi pemeriksaan lanjut oleh Puspakom.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran turut diperoleh bagi membantu siasatan yang kini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : KupiKupiFm
