Naim sumbang RM50,000 perkasa kemudahan Hospital Daerah Kinabatangan

Gambar Naim Moktar Sumbang RM50000

KINABATANGAN: 16 Februari 2026 – Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar, menyalurkan sumbangan RM50,000 dari peruntukan peribadinya bagi menaik taraf kemudahan di Hospital Kinabatangan, susulan aduan orang ramai berhubung keadaan fasiliti dan kelancaran perkhidmatan.

Hasil lawatan rasmi, beliau mendapati beberapa kemudahan berada dalam keadaan uzur dan memerlukan penambahbaikan segera demi memastikan keselesaan dan kebajikan pesakit terpelihara.

Sebagai langkah awal, peruntukan tersebut digunakan untuk kerja-kerja naik taraf tertentu termasuk penyediaan dua unit televisyen di Pusat Hemodialisis untuk meningkatkan keselesaan pesakit yang menjalani rawatan berkala.

Dalam masa sama, beliau akan membantu pihak pengurusan hospital mengemukakan permohonan rasmi kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapatkan peruntukan tambahan pelaksanaan penaiktarafan yang lebih menyeluruh.

Naim turut dimaklumkan mengenai inisiatif pentadbiran hospital yang meminjam pegawai perubatan dari institusi lain untuk membolehkan keempat-empat bilik konsultasi beroperasi sepenuhnya, berbanding hanya dua sebelum ini.

Langkah tersebut berjaya mempercepatkan aliran rawatan dan mengurangkan tempoh menunggu pesakit.

Sebagai Bendahari Pemuda UMNO, Naim menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan rakyat di kawasan Parlimen Kinabatangan menerima perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, selesa dan bermaruah selaras dengan keperluan semasa komuniti setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal