Mr. Wishy Washy Gerakkan Kesukarelawanan Belia

photo 2025 12 18 09 08 18

KENINGAU: Projek sosial berimpak yang ditubuhkan oleh sekumpulan pelajar di Kolej Vokasional (KV) Keningau dan pengasas Keningau Nature Farm iaitu sebuah syarikat pertanian telah melancarkan projek kesukarelawanan untuk golongan belia pada 15 Disember 2025 melalui projek pembuatan bahan pembersih ekoenzim daripada sisa hijau dan seterusnya penggunaan bahan ini dalam kerja-kerja pembersihan.

Projek ini bermula susulan daripada hasil kerjasama para pelajar yang sama dengan Jason Wong Kok Ming iaitu pengasas Keningau Nature Farm dalam kempen mengurangkan dan mengurus sisa makanan dengan baik yang ditaja oleh Yayasan Telekom Malaysia sejak pertengahan tahun 2025.

Kerjasama ini diteruskan dengan projek yang juga berasaskan kemampanan alam sekitar iaitu projek Mr. Wishy Washy dimana mereka menghasilkan bahan pencuci daripada isi dan kulit buah yang sudah rosak melalui proses penapaian dengan menggunakan larutan mikroorganisma yang dibuat dan dipasarkan sendiri oleh Jason Wong.

Pasukan yang terdiri daripada lapan orang pelajar ini pada mulanya menguji keberkesanan produk ini dengan menggunakannya untuk membersih longkang kantin dan dewan makan sekolah selama sebulan sebelum mengambil keputusan untuk membuka peluang kesukarelawanan kepada yang lain untuk menyertai projek ini setelah melihat bagaimana ianya mampu menghilangkan kotoran degil dan bau yang kurang menyenangkan daripada permukaan konkrit longkang.

Seramai 13 sukarelawan baru menyertai projek ini untuk belajar menghasilkan pencuci ekoenzim ini dan menyertai aktiviti pembersihan secara berjadual menggunakan produk ini.

Setiap sukarelawan diberi satu botol larutan ini yang dinamakan Mr. Wishy Washy untuk mereka memulakan kerja-kerja pembersihan di tempat pilihan mereka sendiri dan mendokumentasikannya semasa cuti.

Pasukan ini pernah membentang projek ini di persidangan dalam talian dan mendapat pengikitirafan sijil sebagai pembentang.

Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, memberi sokongan penuh terhadap projek ini dan memuji usaha para pelajar ini melaksanakan projek kesukarelawanan yang memberi impak positif kepada alam sekitar dan kepada pembentukan karakter pelajar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal