TAMBUNAN: 28 Februari 2026 – Sektor pertanian mampu menjana pulangan lumayan sekiranya diurus secara baik dan sistematik, selain mendapat bimbingan mentor berpengalaman, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pinjaman Sabah dan syarikat AgriData di sini pada Sabtu.
Katanya, Tambunan menyaksikan penandatanganan MoU yang mana Perbadanan Pinjaman Sabah telah bersetuju menyediakan pinjaman tanpa faedah kepada semua usahawan pertanian yang diuruskan oleh AgriData.
“Inisiatif ini bukan perkara baharu, malah menambah nilai kepada perjanjian sebelum ini apabila AgriData telah menerima pinjaman kira-kira RM2.5 juta dalam tempoh tiga tahun kebelakangan,” jelasnya.
Menurut beliau, ketika ini AgriData mempunyai kira-kira 112 rumah pelindung hujan yang diusahakan petani luar bandar di bawah bimbingan syarikat berkenaan.
“Mereka membimbing, memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada petani. Hasil tanaman kemudiannya dibeli semula dan dipasarkan, khususnya kepada syarikat makanan segera di Kota Kinabalu dan di Brunei.
“Sehingga kini, kira-kira RM500,000 daripada jumlah RM2.5 juta telah dibayar balik dan tiada seorang pun usahawan yang gagal melunaskan bayaran,” katanya.
Jamawi berkata, kejayaan itu mendorong beliau untuk melihat lebih ramai usahawan muda dibimbing AgriData serta bersama-sama kementeriannya dalam usaha mengurangkan import makanan.
Beliau menjelaskan, AgriData mengusahakan tanaman makanan iklim sejuk seperti tomato, salad dan strawberi, dengan teknologi yang digunakan di Tambunan membolehkan hasil setanding produk import, termasuk dari segi rasa.
“Saya berharap lebih ramai usahawan dapat dibangunkan oleh pengusaha Matthew Johnny Kulai. Kementerian akan menyokong penuh bukan sahaja dari segi bimbingan, malah aspek lain yang berkaitan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, penanaman tanaman iklim sejuk juga akan diperluaskan ke beberapa lokasi lain termasuk plot demonstrasi di Layang-Layang.
“Layang-Layang merupakan kawasan yang saya bangunkan ketika menjadi wakil rakyat di Kemabong dan berupaya menghasilkan tanaman tanah tinggi setanding kualiti di Kundasang.
“Kita mengamalkan amalan pertanian baik dengan mengurangkan penggunaan racun serangga dan baja kimia, sekali gus meningkatkan nilai produk sedia ada,” katanya.
Sebagai pemimpin di Tenom, Jamawi berkata, beliau menyokong usaha melahirkan lebih ramai belia tempatan menceburi pertanian dengan memanfaatkan teknologi yang disediakan AgriData.
Mengulas mengenai aspek penyelidikan, beliau berkata, pelbagai kajian telah dijalankan oleh Jabatan Pertanian dan Mardi yang membuktikan tanaman sayuran tanah tinggi berkualiti boleh dihasilkan walaupun ditanam di kawasan tanah rendah.
“Yang penting ialah mewujudkan persekitaran akar seperti di tanah tinggi. Teknologi hidroponik atau aeroponik mampu mengekalkan suhu akar dalam keadaan sejuk.
“Keadaan itu membolehkan pokok membesar dengan baik dan menyesuaikan diri seolah-olah ditanam di tanah tinggi walaupun berada di kawasan tanah rendah. Teknologi inilah yang digunakan dalam sistem AgriData,” jelasnya.
Jamawi turut mengucapkan tahniah kepada Perbadanan Pinjaman Sabah dan menyeru golongan muda yang berminat agar merebut peluang dalam sektor pertanian.
“Di bawah program Kebun Dapur, kita menyediakan 18 mentor pelbagai bidang pertanian yang boleh dihubungi melalui laman sesawang kementerian.
“Hubungilah kami supaya dapat diperkenalkan kepada mentor-mentor ini dan berjaya dalam bidang pertanian. Matthew Kulai dan Marco Phillip di Tambunan adalah antara mentor yang telah dikenal pasti untuk membimbing lebih ramai anak muda,” katanya.
