MOTAC Sarankan Pemandu Pelancong Kuasai Tiga Bahasa Asing

SEREMBAN: 22 September 2025 – Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pemandu pelancong di negara ini disarankan menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa asing bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta pengalaman pelancong luar negara.

Datuk Seri Tiong King Sing berkata, langkah itu penting berikutan aduan pelancong asing yang kurang berpuas hati dengan tahap penguasaan bahasa pemandu pelancong tempatan.

Beliau menjelaskan, kementerian tidak menetapkan jenis bahasa asing yang perlu dipelajari kerana ia bergantung kepada minat masing-masing.

Kos pembelajaran pula akan ditaja oleh MOTAC dengan kerjasama agensi pelancongan.

Setakat Jun lalu, seramai 9,386 pemandu pelancong telah berdaftar di seluruh negara.

Selain itu, Tiong turut meminta syarikat agensi pelancongan menghasilkan produk dan destinasi baharu yang lebih kreatif sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, kerana ada pakej yang ditawarkan masih tidak berubah sejak sedekad lalu.

Beliau menegaskan, usaha mempromosikan produk pelancongan tidak seharusnya digalas oleh kementerian semata-mata, sebaliknya perlu dilaksanakan bersama oleh syarikat pelancongan bagi menarik lebih ramai pengunjung antarabangsa.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal