Mohamaddin Ketapi tidak pertahan kerusi parlimen Lahad Datu
Ryio Kenji
LAHAD DATU: Datuk Mohamaddin Ketapi tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 untuk mempertahankan kerusinya sebagai Ahli Parlimen Lahad Datu.
Bagaimanapun beliau akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri Segama demi rakyat di kawasan Itu.
“Sebelum ini saya pernah menyatakan kesediaan untuk bertanding dan mempertahan kerusi yang saya sandang di Parlimen Lahad Datu.
Bekas menteri persekutuan masa kerajaan Pakatan Harapan itu memenangi kerusi itu yang dulu dikenali sebagai Parlimen Silam atas tiket Parti Warisan. Namun beliau letak jawatan dari Parti Warisan dan menyertai Parti Bangsa Malaysia.
“Namun begitu, selepas mempertimbangkan beberapa sudut seperti isu-isu politik semasa yang terus bergolak tidak kira di mana pihak sekali pun, menyebabkan rakyat bertambah letih dan jemu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam satu sidang akhbar di Pejabatnya di Taman CL dekat sini pada pagi Jumaat.
“Justeru setelah mempertimbangkan semua pilihan dan cadangan, maka saya membuat keputusan untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen P. 188 Lahad Datu pada pilihan raya kali ini,” katanya.
Menurutnya, taraf hidup rakyat kian tertekan akibat kos sara hidup semakin tinggi manakala pendapatan rakyat pula tidak bertambah. Malah gangguan bekalan makanan makin kerap berlaku dan peluang pekerjaan baharu pula tidak kelihatan.
Menggalas amanah sebagai Ahli Parlimen selama empat tahun dan Menteri Persekutuan selama 18 bulan, menurut Mohamedin beliau berkhidmat semampunya untuk rakyat terutama di kawasan Parlimen Lahad Datu. Tambahnya, siituasi negara hari ini bukan sahaja perlu kestabilan politik tetapi juga perlukan ‘great reset’ atau perubahan semula.
Tidak kira siapa pun yang akan memerintah katanya, setiap ahli politik hendaklah fokus untuk melaksana program yang dapat meringankan beban hidup rakyat, bukannya tawaran janji bulan dan bintang.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan rasa berterima kasih kepada seluruh rakyat Lahad Datu dan penyokong daripada pemimpin akar umbi, jentera jentera, kumpulan belia atas sokongan dan keyakinan mereka.
“Saya juga memohon maaf sekiranya ada kekurangan, salah dan silap selama saya menjadi wakil rakyat Parlimen Lahad Datu”, katanya meminta pihak yang terlibat dalam pilihan raya umum ke-15 ini Jangan hanya menang sorak, tapi kampung tergadai.”
– TV Sabah News
0 Comments