KOTA KINABALU: 1 Januari 2026 – Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah memperkenalkan Program Latihan Kecerdasan Buatan (AI) khusus untuk usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bermula awal tahun ini sebagai langkah strategik kerajaan memperkukuh keupayaan digital, meningkatkan produktiviti serta melonjakkan daya saing usahawan PMKS Sabah dalam ekosistem perniagaan.
Menteri MINDET merangkap Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, memaklumkan program tersebut akan dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara MINDET dan Pepper Labs, susulan pertemuan bersama delegasi syarikat itu yang diketuai Pengarah Urusannya, Thanaselan Rajendran.
Menurut beliau, program latihan berkenaan bukan sekadar pendedahan asas, sebaliknya bertujuan membudayakan penggunaan AI dalam operasi harian perusahaan, termasuk aspek pemasaran, pengurusan perniagaan dan analisis data.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Pepper Labs kerana memilih kawasan Parlimen Penampang sebagai lokasi pelaksanaan inisiatif perusahaan sosial yang mendapat pembiayaan Kerajaan Persekutuan.
“MINDET akan terus memberi penekanan kepada pembangunan menyeluruh usahawan PMKS, termasuk perusahaan sosial (SE) dan perniagaan inklusif (IB), selaras dengan agenda memperkukuh pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif di Sabah,” ujarnya.
Tambahnya, Program Latihan AI itu dijangka menjadi antara pemangkin utama transformasi digital usahawan tempatan menjelang 2026, seiring aspirasi negeri untuk melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing di peringkat nasional dan serantau.
