Tuesday, December 24, 2024

Mimpi ngeri tewas pilihan raya 6 ‘orang kuat’ politik Sabah

KOTA KINABALU: Apa yang berlaku semalam adalah mimpi ngeri bagi beberapa ‘orang kuat’ politik di Sabah.

Mereka tumbang dan tidak lagi mempunyai kerusi untuk duduk menjalankan aktiviti politik di peringkat persekutuan selepas kalah dalam pilihan raya parlimen yang baru sahaja selesai pada malam Sabtu (19 November).

Nama-nama besar seperti Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Ketua Penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai, Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew dan Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking gagal mempertahankan kerusi masing-masing.

Begitu juga dengan bekas menteri yang diuar-uar sebagai bakal timbalan perdana menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Yakob Khan kecundang di tangan pencabar lain.
Mereka juga bukannya amatur dalam politik. Mereka arif tentang politik namun kearifan mereka itu ternyata bukan jaminan untuk mereka menang.

Kekalahan ini akan memaksa ahli politik ‘heavy weight’ ini untuk berhenti seketika dan merenung sebab kenapa mereka tidak lagi dipilih semula pengundi. Mereka perlu mengkaji kenapa mereka disingkirkan walaupun sudah beberapa penggal duduk di kerusi parlimen.

Dr Maximus yang sudah berdekad mewakili rakyat di Kota Marudu kalah kepada Datuk Wetrom Bahanda dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM). Majoriti diperolehi Wetrom ialah sebanyak 8,174 undi.

Rakyat Sabah sudah berkali-kali meminta Dr Maximus untuk bersara dalam politik kerana masalah kesihatannya tetapi dalam satu sesi ceramah kempen di Kota Marudu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu menyakinkan yang beliau masih kuat bekerja.

Kekalahan Joniston di Tuaran sudah dijangkakan kerana kawasan itu memang kubu penyandang dan pemenangnya daripada Pakatan Harapan Datuk Madius Tangau yang mendapat 24,943 undi. Mungkin Joniston boleh menang di PRU akan datang sebab majoriti yang diraih Madius hanyalah 233 undi.

Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew yang kalah kepada Lo Sui Fui daripada Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan 19,865 undi dan majoriti sebanyak 3,800 undi. Liew gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tawau yang disandangnya sejak PRU14.

Mungkin kekalahan terbesar paling dirasai oleh rakyat Sabah terutamanya pengundi kawasan Penampang ialah Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking.

Sayang sekali dengan bakatnya beraksi di arena antarabangsa dikalahkan oleh pengundi Penampang yang kecewa beliau jarang ada di kampung sendiri.

Kesedihan penyokong Darell di Penampang bagaimanapun mungkin terubat bahawa parti pertama kaum Kadazan di Sabah yang diwakili pemenang kerusi parlimen Penampang Datuk Ewon Benedict menyaksikan kembalinya Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) di daerah ini.

Upko kembali untuk mewakili suara masyarakat Penampang dan menyingkirkan Parti Warisan yang dicop sebagai parti yang bersimpati kepada pendatang tanpa izin.

Kejutan paling manis semalam ialah apabila Riduan Rubin memberi kejutan menang sebagai calon Bebas di Tenom dengan 10,027 undi menewaskan penyandang kerusi berkenaan Noorita Sual daripada Pakatan Harapan. Noorita meraih 8,919 undi. Majoriti hanyalah 1,108 undi.

Tiada yang menjangkakan Riduan Rubin akan menang kerana calon Bebas sukar menang dalam pilihan raya. Namun Riduan membuktikan sebaliknya.

Keberanian anak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong daripada Bersatu, Datuk Rubin Balang itu untuk bertanding adalah satu percaturan yang keberangkalian untuk menang adalah tipis.
Rubin dan seorang lagi calon Bebas di Kudat menang kerusi parlimen semalam.

Kerusi Parlimen Tenom mencuri tumpuan pada hari penamaan calon pada 5 November yang lalu berikutan apabila pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights