MID mahu selesaikan masalah PKS
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) mahu menyelesaikan kebimbangan berterusan di kalangan usahawan kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha memastikan mereka lebih berdaya saing, kata Menterinya Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
“Pada masa yang sama usaha ini akan membantu meningkatkan kekayaan dan kesejahteraan sosial negeri khususnya dan negara amnya,” katanya.
Dr Joachim, yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata demikian ketika menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi francais Pak Mund Laksa di antara EO Triton Success Sdn Bhd dan Food BV Sdn Bhd di sini, Selasa.
Beliau berkata, sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia, PKS membentuk 98.5 peratus daripada jumlah perniagaan atau kira-kira 907,065. PKS menyediakan 66 peratus pekerjaan sekaligus menyumbang 37.1 peratus dalam KDNK Malaysia dan 17.3 peratus daripada jumlah eksport.
“Tidak dinafikan PKS menyumbang secara signifikan kepada kekayaan negara.”
“Sebagai penyumbang utama ekonomi, Kerajaan Negeri dan agensinya melaksanakan pelbagai inisiatif seperti pinjaman mudah, geran padanan, latihan, bantuan e-dagang, dana pemerolehan teknologi dan banyak lagi.
“Kerajaan Negeri dan agensinya turut menawarkan pelbagai bantuan kepada PKS untuk mengembang dan memajukan perniagaan mereka,” katanya.
Menurutnya, bantuan itu bukan sahaja terhad kepada urusan kewangan seperti geran dan pinjaman mudah tetapi juga bantuan bukan kewangan seperti nasihat, teknikal, pemasaran, pengurusan, rangkaian, pengedaran, inisiatif penyelidikan dan pembangunan.
Beliau berasa gembira bahawa Pak Mund Laksa yang bermula di Sabah merancang untuk membuka 150 kedai dalam tempoh lima tahun bukan sahaja di Sabah atau Malaysia tetapi juga di rantau ASEAN.
Ia juga merancang untuk mengeluarkan dan membekalkan rangkaian sos dan makanan lain.
Beliau berkata, industri francais tempatan dilaporkan berkembang pesat dengan 1,149 francais berdaftar di bawah Akta Francais 1998.
Tahun lalu, jumlah kedai francais yang dibuka di negara ini meningkat sebanyak 47 peratus tahun ke tahun kepada 13,779 dan berjaya mewujudkan kira-kira 49,000 pekerjaan, katanya.
“Kerajaan juga sedang berusaha untuk membangunkan francais mikro untuk membantu golongan berpendapatan B40,” tambahnya.
– Tv Sabah News
0 Comments