Monday, December 23, 2024

Meme, klip video hiburan di sosial media rai Anwar Ibrahim

Percy Goliu

KOTA KINABALU: Sosial media mempunyai cara tersendiri untuk berjenaka. Kelmarin netizen menghela nafas lega selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 selepas penantian lebih 20 tahun.

Mereka juga gembira selepas lima hari rakyat negara ini diheret bersama dalam kebuntuan menantikan pembentukan kerajaan baharu. Semuanya gara-gara parlimen gantung tiada gabungan politik yang memperolehi majoriti mudah selepas pilihan raya umum ke-15 yang diadakan pada Sabtu lalu.

Dalam kemeriahan merayakan kejayaan gabungan Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan pada Khamis, netizen dihiburkan dengan pelbagai meme politik negara yang dikongsi dalam pelbagai aplikasi seperti Whatsapp dan Facebook.

Meme ini sedikit sebanyak mempengaruhi persepsi rakyat terhadap Anwar Ibahim dan perjuangannya. Kalau sebelum ini parti PH dilihat sebagai parti pembelot kerana bersekongkol dengan Parti DAP, kini mungkin ramai memandang parti itu dengan sorotan berbeza.

Terima kasih kepada berpuluh-puluh meme disebarkan dalam sosial media yang dikongsi dari satu kumpulan kepada kumpulan lain. Kebanyakannya jenaka bernada gembira, mengusik dan sebagai hiburan semata-mata.

Lucu, menghiburkan tetapi tidak merbahaya kepada semua orang atau. Namun ada orang yang pasti terasa atau tersinggung dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh cybertrooper atau sesiapa sahaja yang tahu menggunakan komputer.

Tidak susahpun mengguna aplikasi itu dan mengedit wajah. Budak kecil pun tahu menggunakannya. Wanita selalu menggunakan ‘filter’ yang ada dalam semua aplikasi untuk ‘mencantikkan’ gambar mereka.

Dalam tempoh 24 jam selepas Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke-10, di Sabah banyak kumpulan berkongsi klip video Anwar menyanyi dengan nada kegembiraan.

Asalnya lagu itu Melayu tetapi dialih bahasa ke lagu Dusun, Cina dan Inggeris. Kemudian dengan menggunakan applikasi Reface, wajah gembira Mat Sabu, Anwar dan Lim Guan Eng diedit menyanyi bersama-sama lagu ‘I Just Call To Say I Love You.’

Netizen terhibur dan mungkin hari ini mereka berasakan hari yang baik untuk berkongsi meme yang menggembirakan sebagai merayakan kemenangan 24 tahun penantian Ahli Parlimen Tambun itu yang diakhiri hari ini sebagai peneraju baru Kerajaan Malaysia.

Aplikasi yang dicipta oleh pakar seperti Reface, Faceapp dan banyak lagi yang boleh mengedit rupa, pergerakan dan audio sesuatu objek.

Apabila membabitkan meme politik, kebanyakan yang berada di sebalik komputer adalah aktivis politik atau cybertrooper yang mempunyai spesifik tugas dengan tujuan untuk mengubah persepsi atau naratif orang yang disasarkan.


Menurut Wikipedia ‘meme’ adalah idea, tingkah laku atau gaya yang disebarkan dengan meniru dari seorang individu ke individu lain dalam satu-satu budaya.

Ia kerap kali membawa maksud simbolik yang mewakili sesuatu fenomena atau tema. Terma meme pertama kali diguna pada 1976 oleh pakar biologi evolusionari warga British Richard Dawkins.

Dalam nada lebih serius, meme ini sebenarnya mampu memusnahkan seseorang atau sesuatu kebenaran dengan memutarbelitkan fakta. Ia boleh memusnahkan seseorang atau sesuatu isu sebab majoriti masyarakat malas untuk memeriksa kebenaran yang disebar dalam sosial media.

Dalam hal Anwar dengan meme, klip video dan kenyatan lama yang diviralkan mengenai kehebatan dan kesengsaraan Anwar mungkin menjadi antara sebab Majlis Raja-Raja Melayu bersetuju memilih Anwar sebagai PM.

Namun, sudah pasti formula kerajaan perpaduan adalah resipi utama yang disaji Anwar diterima oleh Yang Dipertua Agong untuk membolehkannya menjadi PM baharu.

Bagi netizen, ceramah Anwar yang memberitahu bagaimana beliau dipenjara bertahun-tahun dan dibelasah atas tuduhan liwat mengubah persepsi orang ramai mengenai karakter beliau. Klip video itu ditularkan sejak beberapa hari yang lalu.

Orang pasti kagum dengan ketabahan beliau menghadapi ujian yang begitu berat dan konsisten dalam perjuangannya untuk memerangi rasuah, memperbetulkan ekonomi dan memulihkan jambatan perpaduan dengan rakyat di Borneo.

Satu lagi klip video yang mungkin membuatkan ramai berasa sebak mendengarnya ialah apabila beliau mahu memanggil semua kaum Melayu, Cina, India dan tidak melupakan orang Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak sebagai anak-anaknya.

Pada masa yang sama meme mempersendakan lawan politik tidak kurang kelakarnya juga diviralkan netizen. Klip video Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang bertajuk ‘jangan suatu hari haiwan pun mencemuh guru’ meraih rasa benci dengan apa yang dikatakannya mengenai parti lawan terutama PH.

Netizen menolak parti perkauman dan ramai menyuarakan rasa marah dengan kenyataan menghina Hadi mengenai kaum lain bukan Melayu.

Meme menangis gambar Muhyiddin, Azmin dan Hadi juga mendapat perhatian kerana ia menunjukkan kekalahan mereka membentuk kerajaan membuatkan mereka menangis.

Meme paling mendapat sambutan dalam group sosial media di Sabah adalah gambar ramai ketua parti politik berada dalam satu bilik bersama-sama menunggu pembentukan kerajaan.

Cybertrooper yang mengedit siap meletakkan topi merah Santa Klaus pada semua orang yang ada dalam bilik itu termasuk Anwar Ibrahim. Pokok krismas siap diletakkan sebagai latar belakangnya.

Ramai ketawa melihat gambar itu dengan komen: “Menunggu siapa Perdana Menteri yang baharu sehingga hari perayaan Natal.”

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights