Media Sosial Tidak Terkawal Dianggap Ancaman Baharu Terhadap Negara

TONGOD: 20 Ogos 2025 – Media sosial yang berkembang pesat tanpa kawalan digambarkan sebagai bentuk penjajahan moden yang mampu menghakis perpaduan rakyat serta menggugat kestabilan pentadbiran negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, menegaskan bahawa penularan berita palsu serta manipulasi kandungan digital melalui platform popular seperti TikTok, WhatsApp, YouTube, dan Reels semakin membimbangkan kerana sering dijadikan senjata politik.

Beliau berkata, jika fenomena ini tidak ditangani secara serius, ia berisiko mencemarkan erti kemerdekaan yang telah dikecapi selama lebih enam dekad.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) menyatakan demikian ketika merasmikan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Tongod.

Menurutnya, penghayatan terhadap sejarah kemerdekaan perlu terus disemai terutama dalam kalangan generasi muda supaya mereka memahami pengorbanan pemimpin terdahulu yang berjaya menuntut kemerdekaan melalui diplomasi, berbeza dengan banyak negara lain yang masih berjuang dengan senjata.

Beliau menambah, erti kemerdekaan tidak hanya terbatas pada laungan slogan atau kibaran Jalur Gemilang, sebaliknya harus dihayati dengan kesedaran bahawa kebebasan menuntut kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan keharmonian masyarakat majmuk.

Katanya, jiwa merdeka hanya dapat dibentuk melalui kekuatan jati diri yang berteraskan empat aspek utama iaitu agama, pendidikan, akhlak dan budaya.

Sumber: Sabah News Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal