KOTA KINABALU, 16 Jun 2025 – Kerajaan Negeri Sabah secara rasmi menubuhkan Majlis Ekonomi Biru Sabah (MEBS) sebagai platform strategik bagi memperkasa agenda ekonomi biru negeri. Langkah signifikan ini bertujuan untuk menyelaraskan dan melaksanakan dasar strategik berkaitan ekonomi biru secara tersusun dan berimpak tinggi.
Penubuhan MEBS telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah Siri 10 Tahun 2025. Mesyuarat sulung majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di Menara Kinabalu pada hari Isnin.

Dalam perutusannya, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa MEBS diwujudkan sebagai inisiatif strategik Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan sektor ekonomi biru Sabah dilaksanakan secara tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Melalui MEBS, kita akan menyelaras dasar-dasar utama, meluluskan program berimpak tinggi serta memantau pelaksanaan Kerangka Dasar dan Strategi Ekonomi Biru. Ini merupakan pendekatan bersepadu yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif dan berdaya saing,” katanya.
MEBS dijangka memacu pemindahan teknologi dan inovasi dalam sektor maritim, selaras dengan keperluan pembangunan ekonomi moden yang menitikberatkan kelestarian dan penerapan teknologi canggih. Penubuhan MEBS dianggap sebagai langkah penting dalam memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, akademia, industri dan komuniti dalam usaha menjadikan Sabah sebagai peneraju utama ekonomi biru di rantau Asia Tenggara.
Hajiji menambah, “Ia mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk mengangkat potensi laut Sabah secara optimum, memperluas pelaburan dan menjamin kesejahteraan rakyat menerusi pembangunan yang lestari dan tahan lasak.”
Beliau percaya dengan langkah ini, Sabah kini berada di landasan yang lebih kukuh dalam membina masa depan yang sejahtera berasaskan kemakmuran laut dan kekuatan ekonomi maritim.
Pada mesyuarat pertama ini, Ketua Menteri telah menyempurnakan penyerahan watikah pelantikan kepada lapan Ahli MEBS yang terdiri daripada barisan pimpinan tertinggi negeri, termasuk Timbalan Ketua Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Besar Negeri dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah.
Selain itu, tujuh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal turut menerima watikah pelantikan untuk mengetuai pelbagai komponen teknikal MEBS, merangkumi bidang penuaian sumber hidup, perniagaan laut, kesihatan laut, penjanaan sumber baharu, perancangan marin, harta intelek, dan pengurusan sungai. Pegawai kanan daripada kementerian dan agensi teknikal utama negeri seperti Jabatan Tanah dan Ukur, Pusat Biodiversiti Sabah, dan Pejabat Hasil Bumi turut dilantik untuk mengemudi pelaksanaan dasar dari aspek teknikal dan pentadbiran.
Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) telah dilantik sebagai Urus Setia MEBS untuk menyelaras pelaksanaan keputusan majlis secara efektif dan strategik. Dengan penubuhan MEBS, Sabah menunjukkan komitmen yang kuat terhadap pembangunan ekonomi yang lestari dan memanfaatkan potensi lautnya secara optimum.