CYBERJAYA: 19 Mac 2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang ramai supaya segera mengemas kini peranti Apple mereka susulan penemuan beberapa kelemahan keselamatan kritikal dalam sistem operasi iOS.
Menurut MCMC, kemas kini keselamatan yang dikeluarkan oleh Apple itu menangani pelbagai kerentanan termasuk rantaian eksploit dikenali sebagai “DarkSword” yang boleh menjejaskan peranti iPhone.
“MCMC memaklumkan bahawa kelemahan ini boleh dieksploit secara berperingkat untuk menjejaskan peranti, sekali gus membuka ruang kepada akses tanpa kebenaran dan aktiviti berniat jahat,” menurut kenyataan itu.
Peranti yang tidak dikemas kini berdepan beberapa risiko keselamatan, antaranya akses tanpa kebenaran kepada data peribadi, pemasangan perisian pengintip, kecurian mesej dan fail, serta pemantauan peranti tanpa pengetahuan pengguna.
Sehubungan itu, MCMC menasihatkan pengguna supaya segera memasang versi iOS terkini bagi memastikan perlindungan maksimum terhadap ancaman siber.
Selain itu, pengguna turut digalakkan mengaktifkan kemas kini automatik untuk menerima tampalan keselamatan akan datang tanpa kelewatan.
Dalam masa sama, orang ramai diingatkan supaya mengelakkan melayari laman web mencurigakan dan hanya memuat turun aplikasi dari App Store rasmi Apple.
MCMC turut menasihatkan pengguna untuk memulakan semula peranti selepas kemas kini dilakukan dan sentiasa peka terhadap sebarang tingkah laku luar biasa pada peranti.
