AHMEDABAD, 13 Jun 2025 – Seorang lelaki yang terselamat dalam insiden tragis pesawat Air India yang terhempas telah berkongsi detik-detik mencemaskan ketika menyelamatkan diri dari runtuhan pesawat yang masih terbakar.
Mangsa berkenaan, Ramesh Vishwaskumar, merupakan seorang warganegara Britain yang berasal dari India. Beliau duduk di tempat duduk 11A ketika pesawat itu mengalami nahas yang meragut nyawa 241 penumpang dan anak kapal.
“Tidak lama selepas pesawat berlepas, saya terdengar satu letupan kuat. Ketika itu, saya lihat mayat-mayat di sekeliling saya. Saya jadi panik, terus bangkit dan cuba melarikan diri. Serpihan kapal terbang berselerakan di mana-mana,” katanya ketika ditemui media tempatan dalam keadaan masih terkejut dan trauma.

Ramesh mengalami kecederaan pada bahagian dada, mata dan kaki akibat hentakan, namun tetap berupaya melarikan diri dari lokasi kejadian. Dalam satu rakaman video yang tersebar luas di media sosial, beliau dilihat keluar dari serpihan pesawat dalam keadaan lemah, dengan pakaian koyak dan lumuran darah di muka.
Sudah lebih dua dekad beliau menetap di London bersama isteri dan anaknya. Kepulangannya ke India kali ini sepatutnya sekadar kunjungan singkat untuk bertemu keluarga, namun bertukar menjadi pengalaman ngeri yang hampir meragut nyawanya.
Lebih menyedihkan, abangnya, Ajay Vishwaskumar, turut berada dalam pesawat yang sama dan kini masih belum dapat dikesan.
Dua orang rakan Ramesh telah bergegas dari Diu ke Ahmedabad selepas mendengar berita tentang insiden tersebut, dengan harapan agar Ajay juga ditemui selamat.
Ramesh telah dihantar ke hospital dengan ambulans selepas berjaya keluar dari lokasi kejadian. Menurut pihak hospital, kecederaannya tidak mengancam nyawa, namun trauma yang dialaminya mungkin akan meninggalkan kesan jangka panjang.
Sumber – Sinar Harian