KUALA LUMPUR: Malaysia akan menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah RM10 juta kepada Myanmar, yang terjejas akibat gempa bumi dahsyat.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan komitmen Malaysia memainkan peranan aktif dalam respons serantau terhadap krisis tersebut.
Beliau berkata, Menteri Luar Negeri akan mengetuai misi kemanusiaan ke Myanmar pada minggu hadapan bagi menyokong usaha mencari dan menyelamat. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah mengerahkan pasukan ke lapangan untuk bekerjasama dengan pasukan penyelamat tempatan.
“Malaysia percaya bahawa tiada negara yang patut menghadapi kesukaran seperti ini bersendirian. Krisis serantau memerlukan keazaman serantau, dan kewajipan ASEAN untuk melindungi kesejahteraan rakyatnya mesti dipenuhi dengan tindakan yang pantas, terkoordinasi, dan bertujuan,” kata Anwar.