KUALA LUMPUR: 10 September 2025 – Harapan skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Asia B-23 buat kali ketiga berturut-turut musnah selepas tewas 1-2 kepada Thailand di Stadium Thammasat.
Kekalahan itu menyaksikan anak buah Nafuzi Zain menutup kempen Kelayakan Kumpulan F di tangga ketiga dengan hanya mengutip tiga mata, hasil kemenangan tunggal 7-0 ke atas Mongolia.
Malaysia hampir membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi rembatan Aliff Izwan Yuslan, namun percubaannya tersasar tipis.
Sebaliknya, Thailand terlebih dahulu mendahului pada minit ke-33 melalui sentuhan Kakana Khamyok sebelum Ahmad Aysar Hadi menyamakan kedudukan enam minit kemudian.
Namun, kelemahan pertahanan negara kembali menghukum apabila Khamyok sekali lagi meledak pada penghujung permainan untuk memastikan tuan rumah mara selaku juara kumpulan.
Perlawanan semalam ditangguhkan hampir sejam setengah akibat hujan lebat di Pathum Thani, sebelum disambung semula pada jam 10 malam dalam keadaan padang becak.
Malaysia sebelum ini pernah layak ke pusingan akhir pada edisi 2018, 2022 dan 2024 dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir pada 2018.
Sumber: Harian Metro