Kota Kinabalu — Malam yang kelam bukan sekadar tentang kegelapan, tetapi tentang perasaan yang tidak terluah. Inilah yang dijanjikan oleh XioKK menerusi kolaborasi bersama JW dan Vida C, yang bakal menampilkan penyanyi berbakat berusia 28 tahun, Gretchene Quirina, dalam Malam Galau Kinabalu, bertempat di Crooners Bay Bar pada 14 Jun ini, bermula jam 8 malam.

Dalam dunia yang sibuk dengan kepura-puraan dan senyuman palsu, Gretchene hadir membawa satu pengalaman muzik yang bukan hanya menyentuh telinga, tetapi juga menyapa jiwa yang terluka. “Saya rasa semua orang pernah merasa galau, rasa kecewa, kehilangan, atau rindu yang tidak terluah. Tema ini datang dari hati saya dan pasukan saya,” ujar Gretchene dalam satu temu bual eksklusif.
Berbeza daripada konsert mini biasa yang sering dipenuhi dengan pesta dan kegembiraan, MGK ini memilih pendekatan yang lebih intim dan emosional. Dari pencahayaan ke pemilihan lagu, setiap elemen direka untuk membawa penonton tenggelam dalam lautan perasaan.
“Saya percaya kita perlukan tempat untuk jujur dengan rasa sakit. Tema galau membolehkan saya dan pendengar mengekspresikan apa yang kita simpan dalam hati,” tambah Gretchene.
Antara yang menarik perhatian adalah senarai lagu-lagu yang dipilih daripada kisah peribadinya sendiri, tentang hubungan yang tidak kesampaian, kerinduan, dan kehilangan.
Salah satu kemuncak MGK adalah pengenalan lagu baharu berjudul Aku Bodoh, ciptaan penyanyi sensasi Reynald Guntabid. Lagu ini, menurut Gretchene, sangat dekat di hatinya. Selain itu, beberapa lagu lama juga akan diberi nafas baharu dengan susunan muzik yang lebih menyentuh dan syahdu bersesuaian dengan tema konsert mini itu.
Gretchene tidak menafikan bahawa kadangkala dia sendiri tidak mampu menahan emosi di atas pentas. Namun, baginya itulah keindahan sebenar dalam persembahan. “Kalau mereka menangis, itu bukan kelemahan. Itu keberanian untuk rasa. Saya akan ada bersama mereka dalam setiap air mata itu,” katanya lagi.
Konsert mini ini bukan sekadar ruang untuk bersedih, tetapi juga untuk sembuh. Mesej yang dibawa sangat jelas: galau bukan kelemahan, tetapi bukti kita pernah mencintai dan pernah terluka.
Malam Galau Kinabalu Bersama Gretchene adalah lebih daripada sekadar pertunjukan seni. Ia adalah ruang kolektif untuk menangis, mengenang, dan akhirnya menerima. Gretchene menutup wawancara dengan penuh harapan, “Saya percaya setiap emosi ada ruangnya. Mungkin selepas ini kita raikan cinta atau semangat. Tapi untuk malam konsert mini itu nanti, biarlah kita galau bersama.”