Mahkamah Koroner Keluarkan Notis Tunjuk Sebab Kepada Mohd Shafie Susulan Kenyataan Subjudis

KOTA KINABALU: 24 September 2025 – Mahkamah Koroner pada Selasa mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap bekas Ketua Menteri Sabah dan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana kenyataannya dalam video tular mengenai kematian murid Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang dianggap subjudis dan berisiko mempengaruhi prosiding inkues yang sedang berjalan.

Kes kematian Zara Qairina bukan sekadar perkara mahkamah biasa, sebaliknya menyentuh hati nurani rakyat dalam menuntut perhatian serius terhadap usaha mencari kebenaran.

Sebarang kenyataan terburu-buru atau tuduhan melulu dari pemimpin politik boleh mencetuskan persepsi negatif dan mengganggu kelancaran prosiding.

Mahkamah menekankan bahawa kebebasan bersuara tidak bermakna seseorang boleh menyebar dakwaan tanpa bukti, lebih-lebih lagi dalam kes sensitif yang menunggu keputusan mahkamah.

Kenyataan tidak bertanggungjawab boleh menimbulkan keresahan umum, mengelirukan masyarakat, dan menjejaskan kewibawaan institusi kehakiman.

Pemimpin politik diingatkan agar meletakkan standard lebih tinggi kerana ucapan mereka, sama ada di pentas ceramah atau media sosial, mempunyai kesan berantai yang boleh mengubah persepsi masyarakat.

Keadaan ini lebih kritikal menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) menuju ke penghujungnya.

Justeru, pemimpin dinasihat menahan kenyataan provokatif atau tindakan yang boleh menimbulkan persepsi buruk.

Masyarakat dan pemimpin digesa menghormati proses mahkamah supaya inkues kematian Zara Qairina berjalan adil dan telus, berasaskan fakta, bukan desakan emosi atau permainan persepsi yang hanya menimbulkan implikasi buruk.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal