Mahkamah Belanda penjara seumur hidup 3 orang tembak MH17
AMSTERDAM: Mahkamah Belanda pada Khamis memutuskan bahawa dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine bersalah atas pertuduhan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014, menyebabkan kesemua 298 penumpang dan krunya terbuunuh.
Menurut laporan agensi berita Reuter , mereka ialah Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Leonid Kharchenko, disabitkan kesalahan membunuh dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Bagaimanapun, mahkamah itu membebaskan seorang lagi warga Rusia iaitu Oleg Pulatov daripada pertuduhan sama.
Prosiding jenayah terhadap keempat-empat lelaki bermula pada 9 Mac 2020.
Bagaimanapun, kesemua defendan tidak pernah hadir pada prosiding itu sehingga menyebabkan mahkamah memutuskan bahawa mereka dibicarakan secara ‘in absentia’ di bawah undang-undang Belanda.
Reuters melapirkan bahawa mahkamah Belanda itu turut mengesahkan hasil dapatan bahawa pesawat penumpang MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Russia dari sebuah padang di timur Ukraine.
“Mahkamah berpandangan MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK yang dilancarkan dari sebuah padang ladang berhampiran Pervomaisk, mengorbankan kesemua 283 penumpang dan 15 kru,” kata Hakim Hendrik Steenhuis yang mengetuai penghakiman itu.
Mahkamah berkata, Russia mempunyai kawalan menyeluruh ke atas pasukan tentera kumpulan pemisah di timur Ukraine ketika kejadian.
“Dari pertengahan Mei 2014, Russia mempunyai apa yang dikatakan kawalan menyeluruh ke atas Republik Rakyat Donetsk,” kata Steenhuis merujuk kepada wilayah tempat pesawat itu ditembak jatuh.
Pada 17 Julai 2014, pesawat itu yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di timur Ukraine sehingga meragut nyawa kesemua 298 penumpang dan anak kapal dari 10 negara berbeza, dengan lebih separuh daripadanya adalah warga Belanda.
Ketika kejadian, kawasan terbabit adalah lokasi pertempuran antara kumpulan pemisah yang disokong Russia dengan tentera Ukraine.
Keempat-empat tertuduh berkenaan dipercayai berada di Russia yang dilaporkan enggan mengekstradisi mereka.
– Tv Sabah News
0 Comments