PENAMPANG: 24 Januari 2026 – Kerajaan Negeri Sabah sedang giat memperkukuhkan Mahkamah Anak Negeri dengan bidang kuasa yang jelas dan mencukupi, struktur institusi yang mantap serta barisan pegawai yang berintegriti dan berwibawa, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Noor.
Beliau berkata, usaha tersebut turut merangkumi penambahbaikan prosedur agar lebih moden, teratur dan berkesan, sejajar dengan keperluan semasa.
Katanya demikian ketika merasmikan Seminar “Empowering Native Justice – The Way Forward” di ITCC Mall, di sini, pada Sabtu.
Menurut Hajiji, pada tahun ini kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah telah memperuntukkan sebanyak RM84.40 juta bagi perbelanjaan mengurus serta pelaksanaan pelbagai program demi memastikan kebajikan dan adat resam anak negeri terus terpelihara.
“Daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM69.98 juta adalah perbelanjaan bayaran elaun dan pentadbiran untuk Ketua-Ketua Adat Negeri.
“Sementara itu, RM2.70 juta diperuntukkan untuk meneruskan projek pembinaan Mahkamah Anak Negeri di Tamparuli, Sook dan Paitan,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Ketua Menteri berkata, perundangan yang mentadbir adat anak negeri wajar dikaji dan diperkemas selaras dengan keadaan dan kehendak semasa.
Beliau berkata terdapat undang-undang berkaitan anak negeri yang digubal sejak zaman kolonial lagi dan haruslah disemak serta diperbaiki.
“Undang-undang itu lahir dalam suasana dan realiti yang sangat berbeza daripada kehidupan kita hari ini. Hari ini, Sabah telah berubah. Masyarakat kita telah berubah.
“Nilai ekonomi, struktur sosial dan cabaran kehidupan telah berubah dengan begitu pantas. Maka undang-undang juga mesti berubah, bukan untuk menafikan adat dan warisan, tetapi untuk memastikan keadilan itu terus relevan dan berfungsi.”
“Justeru, saya berharap seminar ini menjadi medan perbincangan yang berani, jujur dan berpaksikan kepentingan Sabah, demi mencari jalan penyelesaian yang adil dan menyeluruh,” katanya.
Katanya, usaha memperkukuhkan undang-undang dan sistem keadilan anak negeri bukanlah langkah ke belakang.
“Sebaliknya, inilah langkah ke hadapan – langkah berani untuk memastikan Sabah melangkah ke masa depan tanpa mengorbankan jati diri dan warisannya,” katanya.
Beliau berkata program ini amat bermakna dan signifikan kepada masa depan rakyat Sabah, khususnya anak-anak negeri.
“Sabah adalah negeri yang kaya dengan adat, identiti dan budaya anak negeri yang berakar umbi sejak turun-temurun,” katanya.

Seminar tersebut dianjurkan oleh Majlis Jaksa-Jaksa Pendamai Sabah (MAJAPS) di ITCC Mall Penampang dan dihadiri kira-kira 500 peserta terdiri daripada pengamal adat, pemimpin pemikir serta ketua-ketua masyarakat anak negeri dari seluruh Sabah.
Presiden MAJAPS, Datuk Seri Clarence B. Malakun, berkata seminar ini dianjurkan dengan tujuan yang jelas untuk memperkukuh dan mempertingkatkan sistem Mahkamah Anak Negeri di Sabah supaya ia terus relevan, dihormati dan berkesan dalam rangka undang-undang Malaysia yang moden.
“Kami percaya bahawa sudah tiba masanya Mahkamah Anak Negeri diperkasakan dan dibangunkan setanding dengan Mahkamah Syariah di Malaysia – dari segi kedudukan institusi, kejelasan bidang kuasa, sumber, latihan, sokongan pentadbiran dan keyakinan awam.”
“Mahkamah Anak Negeri di Sabah bukan sekadar forum penyelesaian pertikaian. Ia juga merupakan institusi yang mencerminkan identiti dan nilai masyarakat. Jauh sebelum struktur undang-undang moden diperkenalkan, komuniti kita mengamalkan keadilan yang berasaskan adat, konsensus dan keharmonian komuniti – prinsip-prinsip yang kekal relevan hingga hari ini,” katanya.
Beliau berkata adat atau amalan tradisional masyarakat Sabah merupakan suatu sistem nilai murni yang menekankan perdamaian, pemulihan hubungan, tanggungjawab komuniti serta keadilan yang berperikemanusiaan, restoratif dan berasaskan budaya.
“Dalam banyak kes, Mahkamah Anak Negeri menyelesaikan pertikaian bukan semata-mata dengan hukuman, tetapi dengan memulihkan keseimbangan dalam komuniti melalui amalan Sogit dan sebagainya. Pendekatan restoratif ini merupakan salah satu kekuatan utama sistem adat tradisional Sabah.”
Namun, katanya lagi, seiring dengan perkembangan masyarakat dan isu undang-undang yang semakin kompleks, sistem Mahkamah Anak Negeri juga perlu berkembang.
“Memperkukuh kerangka undang-undang, latihan profesional, kapasiti pentadbiran dan sokongan dasar adalah penting untuk memastikan sistem ini terus berfungsi dengan autoriti, kredibiliti dan keyakinan awam – sejajar dengan sistem mahkamah lain yang diiktiraf di Malaysia.”
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Datuk Stephen Sondoh, berkata penyertaan peserta yang amat ramai dan di luar jangkaan mencerminkan betapa isu memperkasakan sistem perundangan anak negeri Sabah dilihat sebagai sesuatu yang amat penting dan relevan kepada identiti serta masa depan masyarakat tersebut.
Cap: Clarence (dua dari kanan), menyerahkan cendera kenangan kepada Joachim sambil disaksikan oleh Stephen (kiri)
