TELUPID: 11 Oktober 2025 – Sebuah lori kontena yang membawa muatan sayur dari Kundasang terbalik selepas dipercayai dipandu laju ketika melalui kawasan Kampung Wonod, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, lori berkenaan hilang kawalan sebelum terbalik dan melanggar sebuah kereta pacuan empat roda milik penduduk kampung yang diletakkan di bahu jalan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun kenderaan penduduk berkenaan mengalami kerosakan teruk.
Hasil temubual bersama dengan penduduk kampung yang ada disitu, pemandu lori terbabit sendiri menghubungi pihak berkuasa bagi melaporkan insiden itu, sebelum pasukan polis tiba di lokasi pada jam 9.12 malam untuk menjalankan siasatan lanjut.
Seorang penduduk, Ramlan Gambidau, berkata kenderaannya memang diletakkan di tepi jalan seperti kebiasaan, namun tidak menyangka akan menjadi mangsa kejadian tidak diduga itu.
“Kereta saya memang selalu diletak di situ, cuma kali ini nasib tidak menyebelahi apabila dilanggar oleh lori itu. Kerugian masih belum dapat dianggarkan,” katanya.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.