KOTA KINABALU: 20 Ogos 2025 – Lagu duet terbaharu bertajuk Lisih Tupusku hasil kolaborasi Sylvillina Billy dan Hector John kini rasmi didengarkan kepada peminat muzik tempatan, yang membawa mesej mendalam tentang ketabahan hati dalam mempertahankan cinta.
Mengangkat tema perjuangan cinta yang tidak pernah pudar meskipun berdepan pelbagai cabaran, Lisih Tupusku, ia diinspirasikan oleh pengalaman hidup yang dekat dengan penulis lagu sendiri. Liriknya menggambarkan keikhlasan seseorang yang mahu kekal menyayangi insan tercinta walau dalam apa jua keadaan.
Menurut Hector, proses penciptaan lagu itu pada mulanya hanya sekadar percubaan suka-suka, namun bertukar serius selepas menemui melodi yang tepat. Dengan sokongan melodi demo dari Ardiles Ivan, terjemahan lirik bahasa Dusun oleh Fendy Dousy serta sentuhan rakaman dan video oleh Douglas melalui Pusakag Production, lagu itu akhirnya siap sepenuhnya.
“Cabaran utama hanyalah soal masa kerana masing-masing terikat dengan jadual padat. Tapi bila lagu ini siap, perasaan teruja itu tidak dapat digambarkan,” katanya.
Menariknya, Lisih Tupusku bukan sekadar kisah peribadi, sebaliknya ditujukan untuk semua “pejuang cinta” yang tidak mudah berputus asa dalam mempertahankan hubungan. Dari segi emosi, lagu ini membawa nuansa ceria namun sarat dengan harapan dan kesungguhan.
Hector turut menegaskan bahawa beliau terlibat sepenuhnya dalam penulisan dan penciptaan melodi, dengan sedikit penyesuaian dan sentuhan seni ketika proses rakaman di studio berlangsung.
Menyasarkan pendengar yang luas, lagu ini kini boleh didengar di pelbagai platform digital termasuk YouTube, Spotify, Apple Music, Instagram dan beberapa saluran lain.
“Harapan saya, semoga mereka yang mendengar Lisih Tupusku dapat merasai mesej yang kami sampaikan – bahawa cinta sejati harus diperjuangkan tanpa pernah mengenal putus asa,” tambahnya.
Dengarkan Lisih Tupusku di https://youtu.be/Z5o1JxKgN2U?si=XhehkH3rcZXHmbnv