GEORGETOWN: 18 September 2025 – Sebuah premis makanan terkenal di Jalan Penang diarahkan tutup selama 14 hari selepas pemeriksaan pihak berkuasa mendapati dapurnya dipenuhi lipas dan tikus selain keadaan yang kotor serta menjijikkan.
Dalam operasi yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, penguat kuasa menemukan tikus berkeliaran di siling, najis haiwan di sekitar dapur, serta puluhan lipas bersarang di kotak penyimpanan rempah.
Lantai dapur turut didapati berlendir, pecah dan menakung air, manakala bilik sejuk beku berada dalam keadaan tidak memuaskan.
Pemeriksaan juga mendapati makanan seperti daging, ayam dan sotong tidak disimpan dengan betul, malah ada yang diletakkan di lantai.
Tong sampah yang tidak bertutup pula diletakkan bersebelahan dengan kawasan penyediaan makanan, meningkatkan lagi risiko pencemaran.
Selain itu, 20 kesalahan direkodkan termasuk pengendali makanan yang tidak menjaga kebersihan diri, tidak mendapat suntikan anti tifoid, serta stor penyimpanan yang berselerak.
Tiga kompaun berjumlah RM3,000 turut dikenakan terhadap pemilik premis terbabit.
Dalam operasi sama, sebuah lagi restoran masakan ala Thai di kawasan berkenaan turut dikenakan tindakan penutupan 14 hari selepas sembilan kesalahan dikesan termasuk kehadiran lipas.
Pemilik premis itu menerima dua kompaun berjumlah RM2,000. Kedua-dua premis berkenaan diarahkan ditutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bagi memberi ruang pembersihan dan kerja pembetulan dilakukan sebelum dibenarkan beroperasi semula.
Sumber: Berita Harian