TUARAN : 5 September 2025 – Lima pelajar Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Sulaman Gayang, berhampiran Pusat Latihan Rela Tuaran, pada Jumaat.
Empat mangsa dikenali sebagai Harianto Anuar, Neil Stanly Pletinie, Mohammad Ikhwan Kurniawan dan Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy, masing-masing berusia 20 tahun. Seorang lagi mangsa masih belum dikenal pasti identitinya.
Kesemua mereka dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa berada dalam sebuah kenderaan Toyota Wish yang bertembung dengan sebuah treler sebelum terbabas ke bahu jalan.
Seramai enam orang terlibat dalam kemalangan, lima dalam kenderaan dan meninggal dunia dan seorang pemandu lori treler.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian kira-kira 29 kilometer dari balai bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Pasukan bomba berjaya mengeluarkan semua mangsa dari kenderaan, dan mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.
Kesemua mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi menyelamat tamat pada jam 3.20 petang selepas pasukan bomba memastikan lokasi selamat.
Sumber: Sinar Harian