TUARAN : 25 Disember 2025 – Lima individu berusia antara 19 hingga 30 tahun cedera parah selepas kereta Perodua Ativa yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Ranau-Berungis, dekat seawall Tuaran, awal pagi tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 mengenai kejadian itu pada jam 2.18 pagi dan segera bergerak ke lokasi yang terletak lebih kurang lima kilometer dari balai.
Pengganti Ketua Balai BBP Tuaran, PBK I Mahmud Jumah, memaklumkan bahawa sepasukan sembilan anggota bomba bersama dua jentera telah dihantar ke lokasi dan tiba pada pukul 2.27 pagi.
Berdasarkan laporan Komander Operasi, kejadian melibatkan sebuah Perodua Ativa yang terbabas lalu terjunam ke dalam parit dengan kesemua lima penghuninya mengalami kecederaan.
Operasi menyelamat berjaya mengeluarkan kelima-lima mangsa menggunakan stretcher, seterusnya memberikan mereka rawatan awal melalui pasukan EMRS.
Mangsa yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan berusia 19 hingga 30 tahun itu telah diserahkan kepada pasukan ambulans KKM untuk dibawa ke hospital menerima rawatan lanjut.
Operasi menyelamat itu turut mendapat kerjasama PDRM dan dua pasukan ambulans KKM untuk memastikan keselamatan serta kelancaran di lokasi.
Setelah memastikan tiada lagi ancaman bahaya, operasi diisytiharkan tamat sepenuhnya pada jam 2.44 pagi.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sumber : Sabah News
Diolah Oleh: Roodwill Ginik
