TAWAU: 13 Ogos – Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas dipercayai menyerang seorang wanita yang sedang membonceng motosikal bersama anaknya di kawasan Batu 5, Tawau.
Dalam kejadian itu, suspek dikatakan memukul bahagian belakang badan mangsa secara tiba-tiba, menyebabkan wanita berkenaan dan anaknya terjatuh dari motosikal.
Mangsa mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan sebelum tampil membuat laporan polis.
Bertindak atas aduan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau melancarkan operasi mengesan suspek sebelum menahannya.
Lelaki berusia sekitar 33 tahun itu kini ditahan di balai polis bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata atau benda berbahaya, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Sumber: Polis Daerah Tawau