TAWAU: 5 Ogos 2025 – Seorang lelaki warga asing yang bertindak agresif sambil membawa sebilah pisau berjaya ditahan polis dalam satu insiden awal pagi di Kampung Batu 4, Jalan Apas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 12.55 tengah malam sebelum sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) digerakkan ke lokasi.
Menurut beliau, suspek berjaya diberkas di luar sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian dan pihak polis turut merampas sebilah pisau panjang berukuran kira-kira 24.5 sentimeter yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
Jasmin memaklumkan bahawa hasil semakan mendapati lelaki terbabit yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
ACP Jasmin turut menyeru orang awam agar sentiasa peka dan melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak berkuasa demi keselamatan komuniti setempat.
Sumber: Polis Daerah Tawau