PUTATAN: 24 Ogos 2025 – Seorang lelaki warga asing berusia sekitar 42 tahun maut selepas terjatuh ketika membaiki tangki air di bahagian belakang sebuah rumah di Kampung Pasir Putih, Putatan.
Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, insiden berlaku sekitar jam 7.35 malam pada 23 Ogos apabila Balai Polis Putatan menerima aduan awam mengenai penemuan mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.
Siasatan awal di lokasi mendapati mangsa dipercayai terjatuh secara tidak sengaja semasa melakukan kerja pembaikan.
Polis turut mengesahkan tiada unsur jenayah ditemui di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (Sudden Death Report, SDR).
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Polis turut menasihati orang ramai supaya tidak memuat naik sebarang imej atau rakaman video berkaitan insiden tersebut di media sosial bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, dalam kenyataan itu menegaskan siasatan lanjut masih diteruskan.
Sumber: Polis Daerah Penampang