TAWAU: 29 Julai 2025 — Cubaan menyeludup dadah bernilai lebih RM70,000 berjaya dipatahkan apabila sepasukan polis Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan pasar Jalan Pelabuhan, semalam.
Hasil maklumat awam dan risikan terancang, serbuan polis menemui dua paket plastik berwarna kuning keemasan di dalam beg galas suspek.
Pemeriksaan lanjut mendapati setiap paket mengandungi bungkusan lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat lebih 2,062 gram.
Rampasan itu dianggarkan bernilai RM74,500 berdasarkan harga semasa pasaran gelap.
Suspek yang berusia sekitar 22 tahun dan merupakan warganegara asing itu turut didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Saringan awal air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah.
Namun begitu, siasatan diteruskan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, YDH ACP Jasmin bin Hussin dalam sidang media pagi tadi, penahanan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Polis Tawau dalam membanteras jenayah narkotik di daerah ini.
Beliau turut mendedahkan bahawa sehingga bulan Julai 2025, polis Tawau telah berjaya merampas lebih 30 kilogram dadah jenis syabu menerusi pelbagai operasi strategik.
Pihak polis menegaskan komitmen mereka untuk terus melaksanakan tindakan tegas dan agresif tanpa sebarang kompromi terhadap aktiviti pengedaran dadah yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Orang awam juga diseru untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi membantu pihak berkuasa membanteras penyalahgunaan dadah secara menyeluruh di daerah ini.
Sumber: Polis Daerah Tawau