Lelaki Ugut Cederakan Adik dan Serang Abang di Tawau

photo 2026 01 19 13 17 51

TAWAU: 18 Januari 2026 — Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan polis selepas bertindak agresif dengan mengugut mencederakan adik perempuannya dan menyerang abangnya dalam kejadian di Kampung Rancangan Ranggu, Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.00 pagi apabila suspek berang selepas ditegur oleh bapa mereka.

“Suspek kemudian mengambil sebatang penyapu dan melibas ke arah abangnya namun tidak mengenainya, sebelum menumbuk mangsa ketika mangsa keluar untuk melihat keadaan bapa mereka. Suspek turut mengeluarkan ugutan bunuh terhadap adik perempuannya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang berusia 41 tahun tampil membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan keluarga memandangkan suspek kerap bertindak marah apabila ditegur.

Suspek kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sumber: Polis Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal